Monday, January 14, 2008

Hijrah lebih penting dirayakan berbanding maulud

Kota Bharu, 14 Jan - Umat Islam perlu menilai semula tradisi mereka merayakan maulud yang dianggap lebih penting berbanding Hijratul Rasul.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan meminta Exco Dakwah dan Pembangunan Islam menilai semula supaya galakan yang lebih wajar ditumpu kepada perayaan Hijratul Rasul di peringkat akar umbi.

"Hijrah amat penting untuk diingati kerana peristiwa ini merupakan kemuncak kepada tahap perjuangan para sahabat Rasulullah SAW sehingga sanggup meninggalkan kampung halaman demi melaksanakan perintah Allah SWT," kata beliau ketika menyampaikan perutusan Hijratul Rasul kepada kakitangan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) pagi ini.

Maulud kata beliau adalah peristiwa kelahiran baginda Rasulullah SAW yang belum disertai dengan pengorbanan dan keimanan sebagaimana dalam peristiwa hijrah.

"Masa Rasulullah SAW lahir, orang di sekeliling baginda belum tahu apa-apa tentang iman dan Islam sedangkan untuk berlaku hijrah, satu suasana pertentangan antara iman dan kufur telah berlaku dengan begitu hebat"," tambah beliau.

Menyentuh pelaksanaan Islam di kelantan, beliau menyifatkan seluruh umat patut berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang memilih kerajaan yang mahu melaksanakan Islam.

"Dengan terpilihnya kerajaan yang melaksanakan Islam kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan seperti hotel-hotel yang dahulu dikenal dengan imej kotor dan maksiat kini telah diterima sebagai tempat yang aman dan selesa," jelasnya.

Dengan terhentinya kegiatan judi dan kelab malam dan lain-lain maksiat yang lazimnya dihalalkan kerajaan, masyarakat Kelantan kata beliau hidup aman harmoni dari pelbagai gejala yang sedang melanda tempat-tempat lain.

"Kita tidak perlukan kamera litar tertutup (CCTV) jika iman dan takwa disemai dalam hati sanubari rakyat," tambahnya.

Beliau turut menghuraikan konsep ubudiyah, masuliah dan itqan yang menjadi teras pentadbiran negeri bagi membina masyarakat sejahtera berdasarkan panduan ilahi.

Saturday, January 12, 2008

Pelajar Islam Kelantan akan terus tuntut keadilan

Kota Bharu, 11 Jan: Masyarakat Kelantan yang terdiri dari ibu bapa dan pelajar sekolah agama akan terus menuntut keadilan berkaitan bantuan per kapita yang dinafikan kerajaan pusat kata ADUN Tanjong Mas, Puan Rohani Ibrahim.

"Kita tidak akan berhenti dari menuntut hak kita," ujar beliau ketika berucap di majlis penutup minggu suaikenal di Maahad Pengajian Islam di Jalan Bayam pagi ini.

Beliau bagaimanapun melahirkan kesyukuran kerana tahun ini sambutan untuk menghantar pelajar ke sekolah agama di Kelantan melonjak dengan drastik.

"Kita berterima kasih kerana ibu bapa terus memilih sekolah agama sebagai tempat belajar ana-anak mereka walaupun pelbagai dakyah dilakukan untuk memburuk-burukkan sekolah agama di Kelantan," katanya.

Meskipun ibu bapa tahu bahawa sekolah agama tidak mempunyai kelengkapan canggih tetapi mereka tetap membuat pilihan bijak demi menyelamatkan depan anak-anak masing-masing.

Kita tahu ada pihak yang cuba memburuk-burukkan sekolah agama di Kelantan dengan memberi gambaran buruk.

Kita bersyukur kerana ibu bapa tidak termakan dakyah ini kerana kita telah mencipta rekod luarbiasa sejak berpuluh tahun.

"Dalam keadaan kita ditekan dengan pelbagai sekatan dan dakyah negatif pelajar kita adalah antara yang paling cemerlang dari segi akademik dan pembinaan sahsiah diri," jelas beliau.

Sri Cerana Resort fokus pencinta alam sekitar

"Pertama di Kelantan," begitulah kata Haji Husin bin Khalid atau lebih mesra dengan panggilan "Ayah Sin" di kalangan anak buahnya di Sri Cerana Resort.

Resort yang mula dikenali ramai ini mula dibina oleh Ayah Sin sejak 2001.

"Dulu kawasan ini adalah tanah terbiar yang ditumbuhi pelbagai pokok-pokok hutan yang dianggap tidak berguna," cerita beliau ketika kami mengunjungi beliau baru-baru ini.

Menurut Ayah Sin minat beliau untuk menjadi usahawan bermula sejak beliau pencen dari menjadi guru kira-kira sepuluh tahun lalu.

"Dengan suntikan semangat oleh ahli keluarga mengukuhkan semangat saya untuk menambahkan lagi usaha walaupun memang banyak halangan terpaksa ditempuhi," ujar beliau.

Sri Cerana Resort yang terletak kira-kira 10 kolimeter dari pusat bandar Kota Bharu ini memang istimewa kerana dekorasinya yang berlatar alam semulajadi yang menarik.

Rekabentuk yang mesra alam menjadikan pengunjung resort ini terasa seperti kembali kepada kehidupan desa zaman silam.

"Rekabentuk tempat ini dibuat oleh anak saya sendiri, seorang lulusan bidang perancangan dari sebuah universiti di England," ujar beliau.

Kebanyakan pokok-pokok yang ada dalam kawasan itu menurut beliau adalah tumbuhan asal yang dikekalkan di situ.

Kos pembinaan resort itu menurut Ayah Sin telah mencecah RM500 ribu.

"Mungkin ada yang berpendapat pelaburan ini tak berbaloi, tapi bagi saya ia penting bukan untuk saya tapi untuk generasi akan datang," terang beliau.

Beliau amat berharap agar usaha yang dimulakan beliau akan diteruskan oleh anak-anaknya pada masa akan datang.

Buat masa sekarang Cerana Resort mampu menampung penginapan untuk 50 pengujung.

"Kita hanya ada 4 bilik Chalet dan 2 bangunan bentuk dormitory," jelas Ayah Sin lagi.

Bagi kemudahan dewan, tempat ini memiiki kemudahan dengan kapasiti muatan 120 peserta.

"Jika untuk jamuan dewan ini boleh menampung antara 80 orang hingga 180 orang jika ditambah di kawasan sekitar," jelas beliau.

Thursday, January 10, 2008

Kisah hidup tokoh Hijratul Rasul memukau hadirin


KOTA BHARU, 10 Jan - Kisah hidup Dato' Mohamed Daud al-Iraqi yang diisytiharkan tokoh Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan memukau mereka yang hadir di Balai Islam Lundang malam tadi.

Orang ramai sunyi sepi ketika riwayat hidup beliau dibacakan Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan, Ustaz Saibon Ismail.

Kisah kegigihan beliau bermula dengan belajar dalam dua aliran pengajian iaitu sistem sekolah dan pondok serta pencapaian-pencapaian beliau sepanjang hidup begitu mengkagumkan.

Beliau yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri pernah menjawat pelbagai jawatan dalam pelbagai sektor khusunya pendidikan.

Pernah bertugas sebagai guru, pensyarah, pegawai pendidikan, dan penulis buku teks sekolah.

Turut dikisahkan ialah kekuatan daya kepemimpinan di mana hampir di semua tempat beliau sentiasa dilantik sebagai pemimpin.

Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1429 Hijriah yang akan diadakan malam tadi bertema "Menjana Ummah Gemilang" dirasmikan Sultan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, sambutan itu diadakan bersempena memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.

"Dari keadaan asal tidak ada daulah menuju kepada kewujudan daulah hasil dari peristiwa itu, di mana hijrah bermaksud berubah daripada gelap kepada terang dan rugi kepada untung.

"Kita mahu sebarkan kehebatan peristiwa hijrah itu melalui sambutan yang diadakan di peringkat negeri," katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang bermulai jam 8.30 malam.

Pada majlis itu turut diumumkan penerima anugerah Tokoh Saudara Kita, Masjid Terbaik dengan Kategori Masjid Bandar dan Masjid Mukim.

Selain itu anugerah Imam Terbaik bagi Masjid Bandar dan Masjid Mukim, Pondok Madani dan Pondok Terbaik.

Tokoh Usahawan Muslim (lelaki dan perempuan), penulis buku terbaik, Sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (Yik) Terbaik, Sekolah Menengah Agama (Bantuan) Yik Terbaik.

Turut diumumkan pelajar Sekolah Menengah Agama Yik Terbaik (lelaki dan perempuan), pelajar Sekolah Menengah Agama (Bantuan) Yik Terbaik (lelaki dan perempuan) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangaaan Agama Terbaik (lelaki dan perempuan).

Hassan berkata, penerima anugerah Tokoh Hijratul Rasul akan menerima sijil dan wang tunai RM5,000, Tokoh Saudara Kita (RM3,000).

Johan Kategori Masjid Bandar (RM5,000), naib johan (RM3,000) dan ketiga (RM2,000). Kategori masjid mukim juga menerima hadiah serupa. Imam Terbaik Masjid (RM2,000), Pondok Madani (RM5,000, pondok terbaik “ johan (RM3,000), naib johan (RM2,000) dan ketiga (RM1,000).

Tokoh Usahawan Muslim (RM3,000), penulis buku Islam terbaik (RM2,000), Sekolah Menengah Agama Yik Terbaik (RM2,000), Sekolah Menengah Agama (Bantuan) Yik Terbaik (RM2,000).

Hassan juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM50,000 bagi penganugerah tersebut.

Tuesday, January 8, 2008

Kematian anak Tok Khurasan buat MB terkenang zaman remaja

Oleh: Abu Thoreeq
Foto: Hisham Ibrahim

Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menzahirkan kenangan semasa remaja ketika menziarahi kematian anak bekas guru beliau di Kampung Sireh Selasa lalu.

Menurut beliau Tok Guru berasal dari Afghanistan yang dikenali sebagai Tok Khurasan itu sangat alim dan begitu terkenal di Kelantan ketika itu.

“Tok Khurasan adalah guru terkenal semasa zaman saya masih kanak-kanak dan saya sentiasa berulang alik ke kampung ini untuk berguru dengan beliau,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah anak kepada Tok Khurasan, Zaharah binti Syed Hassan.

Beliau yang diiringi Dato’ Haji Takiyuddin Hassan turut menceritakan bagaimana Tok Khurasan bukan sahaja tekenal dalam bidang syariah dan usuluddin malah juga seorang yang mahir dalam bidang ilmu falak.

Berhampiran masjid yang lebih dikenali masjid Maulana oleh masyarakat tempatan itu terdapat kesan ciptaan jam matahari ciptaan ulama’ tersohor itu.

“Jam matahari yang masih kekal sampai sekarang adalah kesan tinggalan yang amat perlu dikenang kerana pada zaman jam belum dikenali ramai, umat Islam menggunakan rekaan ini bagi menentukan waktu solat dengan tepat,” jelas beliau.

Dato’ Takiyuddin yang hadir di majlis pengkebumian jenazah Zaharah menyerahkan bantuan Kifalah kepada waris simati.

“Alhamdulillah seluruh penduduk sekitar telah bersama membantu keluarga Allahyaram dalam menghadapi saat sukar seperti ini,” katanya.

Masjid Maulana menurut Takiyuddin telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan Islam di Kota Bharu khususnya kawasan Bunut Payong dan sekitarnya.

Usaha pembentukan keluarga cemerlang - JHEIK wujudkan unit khas

Oleh: Muhammad Yusri Amin


Imej tradisional pejabat agama selalu dikaitkan dengan soal penguatkuasaan dan hukuman kepada para pesalah syar'ie. Bagi mengubah tanggapan umum ini, Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (JAHEIK) kini bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada usaha membina keluarga cemerlang.


"Usaha kita bermula dengan program terancang yang diadakan berdasarkan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam di mana penekannya ialah kepada bidang akidah, ibadah, akhlak dan komunikasi suami isteri," kata Pengarah JAHEIK, Haji Abdul Aziz Abddul Rahman dalam satu temubual khas dengan Siasah baru-baru ini.

Islam kata beliau sejak zaman silam memberi tumpuan besar terhadap pembinaan keluarga dan dalam soal ini wanita perlu diberi status yang sewajarnya.


Sebelum kedatangan Islam, wanita dianggap tidak berharga, warga kelas dua serta tunduk kepada kehendak lelaki, bahkan tidak berhak menjalani kehidupan mulia. Mereka tidak mempunyai bahagian dalam pembahagian pesaka.

Prof. Dr. Ahmad Shalaby dalam Kehidupan Sosial Di Dalam Pemikiran Islam (Pusataka Nasional 1976) menerusi artikelnya, Kaum Wanita Di Dalam Masyarakat menyatakan bahawa sejak dahulu Islam telah meletakkan lunas-lunas kehidupan baru bagi kaum wanita dan memupuknya.

Islam mempunyai hak-hak yang baru dikenali peradaban Barat pada abad ini atau mereka masih belum mengenali sepenuhnya. Sejak zaman lahirnya Islam, wanita Islam menikmati hak-hak itu dan terus menikmatinya sehingga sekarang dan tidak pernah terdpat mana-mana peradaban yang boleh menandingi peradaban Islam dalam persoalan itu, bahkan islam sentiasa mahukan kebaikan bagi wanita dengan tidak mengabaikan 'keperempuanannya' sama ada keperluan untuk berpakaian, menunaikan solat dan menghias diri.

Demikianlah maka penghargaan dan pemerhatian diberikan kepada wanita.

Dalam usaha membantu institusi kekeluargaan khususnya pasangan suami isteri dan bakal suami isteri, sebuah unit khas diwujudkan oleh JHEIK bagi bertindak memberi nasihat dan bantuan moral dalam menyelesaikan kes membabitkan nafkah, penderaan dan sikap pasangan itu.

Menurut Haji Abdul Aziz, sebagai contoh pasangan yang datang ke unit berkenaan meminta bantuan nasihat ialah kerana pemberian nafkah tidak mencukupi atau tidak diberi langsung.

"Langkah pertama, pihak kami memanggil pasangan berkenaan untuk berbincang. Cuba cari penyelesaian. Andainya suami itu tidak mampu dengan kadar permintaan isteri berkenaan, kita akan rundingkan.

"Kita menjadi orang tengah. Seandainya suami berkenaan berdegil juga dan tidak ada kata sepakat, kita akan bawah mereka ke mahkamah syariah," katanya.

Sementara bagi kes penderaan, menurut Haji Aziz, pihaknya menyuruh pasangan berkaitan membuat laporan doktor di hospital kerajaan dan laporan polis.

"Banyak jenis penderaan termasuk penderaan mental. Dalam kes ini juga kita berikan nasihat dan jika perlu mereka terpaksa masuk mahkamah syariah untuk tindakan akhir," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kejadian penderaan mental itu biasanya berlaku di kalangan golongan elit dan intelek di mana suami mengeksplotasi isterinya secara mental.

"Dalam kes ini, sebagai contoh, suami mengatakan kepada isterinya: "kamu menjadi isteriku, kamu tidak boleh melawan suami. isteri terpaksa akur termasuk dari segi kewangan rumah tangga kerana isteri mesti patuh.

"Dalam soal ini, si suami berkenaan membuat alasan bahawa itu hukum syariah, menjadikan hukum syariah sebagai alasan untuknya mempengaruhi isteri. Isteri tidak berdaya untuk melawan. Tidak boleh menderhaka kepada suami.

"Inilah sikap yang ditanam oleh suami berkenaan, sebagai contoh penderaan mental dan isteri berkenaan tidak boleh menegur suaminya itu," katanya dan menyarankan andainya si isteri itu mahu mengambil tindakan, mestilah membuat aduan di mahkamah syariah.

"Dalam hal ini, langkah pertama ialah pergi kepada Unit Khidmat Nasihat Jabatan Hal Ehwal Agama dan pihak terbabit akan dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

"Hasil dari khidmat nasihat itu, kebanyakannya pasangan berubah, namun kemungkinan besar datang semula membuat aduan," katanuya sambil menekankan bahawa khidmat nasihat yang diberikan adalah tidak bercanggah dengan Islam dan berpaksikan kepada kekeluargaan Islam dan hukum syariah.

"Pokok pangkal punca kes ialah kerana suami isteri itu jahil di dalam selok belok agama dan rumah tangga Islam.

"Untuk mengatasi masalah ini, pihak Jabatan ini menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan kepada bakal pengantin, kursus kekeluargaan serta menganjurkan progaram Generasi Solat untuk memberi kesedaran agama di kalangan generasi muda, selain dari khidmat nasihat yang diberikan dengan percuma," katanya.

Menurut beliau, mereka yang datang terdiri dari semua golongan masyarakat yang tinggal di sekitar Kota Bharu khususnya.

"Kes-kes yang kita kendalikan bukan terhad kepada pasangan saja, bahkan boleh salah seorang pasangan itu datang bagi pihak dirinya sama ada suami atau isteri dan mereka datang untuk memperbaiki dirinya sendiri terhadap apa yang tidak kena dalam menjalani kehidupan berumah tangga itu," katanya.


Unit ini juga jelas beliau menguruskan soal perkahwinan dan prosedur, hubungan dalam keluarga, pengurusan kesihatan, pengurusan sumber keluarga dan pengurusan konflik di samping pengurusan tekanan/stress dalam kehidupan dan pengurusan talak, fasakh dan prosedur perceraian.