Sunday, June 8, 2008

Rakyat berhak ikuti sepenuhnya perbahasan di parlimen

Pasir Puteh, 5 Jun – Orang ramai berhak untuk mengikuti sepenuhnya persidangan perlimen bagi membolehkan mereka mendapat kefahaman tentang kesan dasar dan tindakan pihak kerajaan terhadap kehidupan harian.

Demikian ulasan ahli parlimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain berhubung tindakan kementerian penerangan yang hanya menyiarkan hanya sebahagian persidangan berkenaan secara langsung baru-baru ini.

"Rakyat tidak dapat memahami situasi sebenar tanpa siaran penuh kerana kebanyakan isu-isu penting muncul selepas sesi soal jawab yang selalunya dimonopoli jawapan menteri," kata beliau di majlis solat hajat permulaaan operasi Pejabat Urusan Ahli Parlimen Pasir Puteh berhampiran SMK Tok Janggut baru-baru.

Bangunan dua tingkat itu dalam fasa persiapan terakhir dan dijangka akan dirasmikan sedikit masa lagi.

Pada majlis berkenaan beliau banyak berkongsi maklumat dan pengalaman beliau berkenaan isu-isu yang diperdebatkan semasa sidang parlimen pusingan pertama tempoh hari.

Beliau yang mesra dengan panggilan ustaz mat juga menggalakkan penduduk untuk mengikuti perkembangan semasa sesi perbahasan kerana ini akan menggalakkan percambahan minda untuk pembangunan masyarakat.

Pencegahan dadah perlu bermula dari rumah

Pasir Puteh, 5 Jun - Usaha pencegahan dadah akan berkesan jika ibu bapa memberi perhatian untuk memulakan tindakan di rumah.

Ahli Palimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain berkata usaha pihak kerajaan yang merangka pelbagai program dengan kos yang besar tidak akan memberi sebarang makna tanpa kesungguhan pihak keluarga.

"Program meningkatkan kesedaran ibu bapa di peringkat akar umbi amat penting supaya anak-anak terhindar daripada gejala negatif," kata beliau ketika merasmikan program Keluarga Sejahtera, ‘Institusi Keluarga Bebas Dadah’ yang dianjurkan oleh JKKK Felcra Teratak Batu dekat sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya beliau turut melahirkan rasa bangga dengan inisiatif yang dijalankan oleh JKKK Felcra dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tersebut.

"Usaha sebegini mampu memberikan pendedahan awal kepada penduduk kampong terhadap gejala penagihan dadah malah melalui program ini juga hubungan silaturrahim antara penduduk dapat dieratkan," tambah beliau.

Program sehari itu bermula jam 10 pagi sehingga 11 malam telah mendedahkan kepada masyarakat setempat terhadap implikasi buruk sekiranya terlibat dengan penagihan dadah.

Bagi memeriahkan lagi program ini, pihak penganjur juga turut memasukkan unsur-unsur kebudayaan dan kesenian yang telah melibatkan pelbagai lapisan peringkat umur terutamanya golongan belia.