Saturday, May 24, 2008

PAS dukacita keputusan pulau Batu Puteh

Pasir Puteh, 24 Mei – PAS melahirkan rasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antabangsa (ICJ) yang memutuskan untuk menetapkan hak pemilikan Singapura ke atas pulau Batu Putih semalam.

Timbalan Presiden parti itu, Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkata adalah jelas persiapan pasukan peguam bagi pihak Singapura jauh lebih kemas daripada apa yang dipersiapkan pihak Malaysia.

“Penghujahan dan fakta-fakta yang disediakan pihak mereka nampaknya jauh lebih kemas berbanding pihak kita sebagaimana yang dirumuskan oleh ketua hakim dalam keputusan yang dikemukakan,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agong PAS kawasan Pasir Puteh di Dewan Majlis Daerah di sini pagi ini.

Sebelum itu ketika merasmikan mesyuarat agong berkenaan, Nasarudin berkata PAS kini bersiap sedia untuk menerajui usaha perpaduan umat setelah majoriti masyarakat Melayu kini memberi isyarat jelas menolak Umno sebagai parti yang boleh menaungi mereka.

"Selepas penolakan rakyat 8 Mac lalu, kini kalangan bekas pemimpin dan pemuka Umno sendiri berlumba-lumba meninggalkan Umno dan mendedahkan betapa parti itu tidak lagi boleh diharap untuk membela orang Melayu dan rakyat keseluruhannya," ujar beliau.

Tindakan Tun Dr. Mahathir meninggalkan Umno menurut beliau jelas akan membawa perubahan lanskap politik yang bakal melanda negara ini secara drastik.

PAS sebagai sebuah parti yang cukup matang dan mempunyai rekod yang bersih dalam sejarah politik negara boleh menjadi alternatif kepada masyarakat Melayu yang dulunya begitu taksub dengan Umno.

"Dengan perkembangan terkini, parti kita membuat keputusan untuk bersiap sedia memimpin perpaduan umat dengan halatuju yang jelas berteraskan Islam," tambah beliau.

Fokus kepada perpaduan umat di kalangan masyarakat Islam kata beliau tidak bererti PAS tidak sensitif kepada kaum-kaum lain yang tidak beragama Islam di negara ini.

"Sebagai parti yang memperjuangkan Islam kita meneruskan tugas nabi-nabi sebagai pembawa rahmat kepada semua temasuk orang bukan Islam malah makhluk keseluruhannya," jelasnya.