Friday, January 30, 2009

JKK perlu pendekatan baru bantu rakyat - Adun Sijangkang

Oleh Harakahdaily

JENJAROM, 31 Jan (Mbaru) - Pemimpin akar umbi khususnya jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKK) diseru meninggalkan kaedah lama tinggalan Umno dengan memberi keutamaan kebajikan rakyat melebihi usaha melindungi kepentingan politik kroni.

Adun Sijangkang,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata demikian di majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang dan golongan kurang upaya dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan pelajar dan bantuan kasut sekolah pagi ini.

Majlis pada pagi tadi meriah,apabila lebih 40 pelajar menerima bantuan kasut sekolah dan hadiah kecemerlangan daripada Dr Yunus.

Dr Yunus dalam ucapan perasmiannya menyambut baik langkah yang diambil oleh pihak JKKK Kampung Sungai Rambai kerana mampu berinisiatif untuk membantu penduduk yang kurang upaya. Image

"Bukan mudah untuk melaksanakan program seperti ini,tetapi langkah JKKK kampung ini membuat program sebegini merupakan usaha murni yang tidak ternilai.

"Jika di tempat lain,penduduk akan diberikan baucer RM20 dan dikehendaki membeli sendiri kasut tetapi di sini JKKK pergi ke setiap rumah mengukur kaki dan membelikan kasut dan meraikan pelajar bukan merupakan satu usaha yang kecil,"jelasnya.

Tambahnya, penduduk di situ bertuah apabila anak-anak mereka dapat merasai nikmat bersekolah,dan tidak sebagaimana anak-anak Palestin yang sukar untuk mendapat pendidikan formal.

"Baru-baru saya ke Palestin dapat melihat sendiri betapa susahnya rakyat di sana. Kanak-kanak sukar bersekolah. Hari-hari Israel bom,"katanya.

Oleh itu katanya, penduduk wajar bersyukur kerana selain anak-anak dapat bersekolah dengan aman di sini,sikap prihatin kerajaan negeri Selangor yang sediakan bantuan seperti kasut untuk anak-anak ke sekolah wajar dihargai.

Image"Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib rakyat. Bantuan yang disampaikan tidak mengira bangsa,semua kaum Melayu,Cina dan India dibantu dengan pemberian baucer,"tambahnya.

Selain itu katanya, di bawah pentadbiran kerajaan prihatin baru-baru ini setiap Dun diperuntukkan bantuan berupa beras,gula dan susu untuk diberikan kepada golongan kurang upaya.

"Kerajaan Selangor beri peruntukan 700 kampit beras dan di peringkat Dun kita tambah lebih 1,000 kerana kita sedar dan prihatin ramai yang kurang berupaya,"jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Rambai, Haji Mazlan Masri dalam ucapan aluannya melahirkan penghargaan atas keprihatinan Adun Sijangkang.

"Kita bersyukur kepada YB kerana memberikan hadiah...kalau sebelum ini majlis sebegini tidak pernah diadakan,"katanya.

Menurutnya, penduduk kampung di situ wajar menghargai usaha-usaha yang dilakukan seperti bantuan yang disampaikan pada pagi ini.

ImagePada majlis itu juga,seramai tujuh pelajar cemerlang UPSR dan dan dua pelajar cemerlang PMR menerima sumbangan daripada Dr Yunus.

Salah seorang pelajar tersebut,adik Afifah yang cemerlang dalam PMR dengan mendapat 8A menyifatkan anugerah sebegini wajar diteruskan.

"Paling tidak dengan anugerah ini,ramai pelajar akan lebih memberikan tumpuan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya,"katanya.

Ketika ditanya rahsia kejayaan cemerlang yang diperoleh katanya,"rajin,usaha dan sentiasa bertawakal."

Tambahnya, berkat doa dan bantuan serta sokongan ibu bapa yang tidak putus juga banyak membantu beliau untuk berjaya.

Hadi tiba di Rafah untuk serah bantuan kemanusiaan


RAFAH, Mesir 31 Jan (Mbaru) - Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang bersama 20 anggota rombongan telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli yang bersama rombongan itu memberitahu wartawan tempatan melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa kumpulan itu telah menemui rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Yahudi meskipun masih belum berjaya memasuki Gaza.

Menurut beliau, presiden PAS dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.

Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.

"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya,

Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

Di hospital itu katanya presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

Rombongan presiden PAS dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.

"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Rombongan pimpinan PAS itu dijangka akan berlepas ke Damsyik 31 Januari untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.

"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalah ummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.

"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.

Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam mesej terakhir yang diterima lewat malam tadi.

Thursday, January 22, 2009

Hina daya intelek rakyat punca BN Kalah ~ ref Malaysiakini


Oleh Penulis khas

KUALA TERENGGANU: Lima hari selepas pilihanraya kecil, penulis berpeluang kembali semula ke Kuala Terengganu untuk mendapat gambaran lebih tepat faktor kemenangan PR dan kekalahan BN dalam PRK tersebut.

Kebetulan sekumpulan pengundi dari kalangan guru telah ditemui. Golongan ini dipercayai menjadi faktor utama kemenangan Allahyarham Dato’ Razali Ismail dalam dua PRU berturut-turut.

Apabila ditanya tentang kekalahan BN, seorang pengetua perempuan dengan pantas beliau menjawab BN kalah kerana kedunguan mereka sendiri.

“BN menganggap orang lain bodoh macam mereka juga,” kata beliau yang merupakan salah seorang pengetua senior dan orang penting dalam urusan pendidikan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT)..

Pengetua tersebut memaklumkan beliau menerima 20 khidmat pesanan ringkas (sms) daripada jentera kempen BN dan dua daripada jentera kempen Pas. Beliau sendiri menunjukkan kepada penulis pesanan-pesanan tersebut.

Semua pesanan daripada jentera kempen BN menurutnya menggunakan pengenalan WARDAH dan MyNews, manakala pesanan daripada jentera kempen Pas menggunakan nombor telefon peribadi.

Penrbincangan panjang dengan pengetua tersebut menunjukkan beliau gembira dengan kekalahan BN.

“BN langsung tidak tahu menghormati budaya intelektual di mana semua pesanan ringkas yang diterima daripada jentera kempen BN seolah-olah dituju kepada orang kampung yang tidak berpelajaran serta tidak diakseskan kepada sumber maklumat lain selain sumber propaganda BN.,” katanya.

“Kita sungguh hairan bagaimana pesanan yang menggunakan slogan ‘masihkah kau ingat’ dan ‘Pas kluk klek’ serta semua isu yang dibangkitkan seperti hudud, tabika kemas, negara Islam dan lain-lain itu telah difahami dengan jelas terus diulang-ulang semacam orang payah sangat nak faham,” ujarnya yang menganggap tindakan seperti itu satu penghinaan kepada golongan pengundi terpelajar seperti beliau.

Beliau kemudian memuji pendekatan PAS yang nyata jauh berbeza.

Menurut beliau, dua mesej yang diterima daripada jentera kempen Pas adalah bercorak rayuan dan mengajak ke arah perubahan. Katanya, Pas lebih menghormati golongan intelek berbanding BN.

Seorang lagi pengundi yang ditemui ialah seorang pegawai akademik di sebuah PPD.

Seperti pengetua tadi juga, beliau menerima puluhan mesej daripada jentera BN dan lima mesej daripada jentera PAS.

Apabila ditunjukkan, didapati mesej yang diterima daripada jentera BN sama seperti yang diterima oleh pengetua tadi.

Namun bagi Pas, hanya mesej yang mengandungi rayuan daripada calon Pas, Mohd Wahid Endut sahaja yang sama dengan mesej yang diterima pengetua tadi. Itupun menggunakan nombor telefon yang berbeza.

Seperti pengetua tadi juga, beliau rasa cukup terhina dengan mesej-mesej yang diterima daripada jentera BN. Menurut beliau, BN sepatutnya membezakan strategi kempen bagi kumpulan pengundi yang berlainan.

Daripada perbualan dengan beliau, didapati beliau adalah penyokong kuat Allahyarham Dato’ Razali sebelum ini.

Beliau mengaku tidak keluar mengundi tanpa menyatakan sebab. Beliau mungkin salah seorang penyokong BN yang tidak keluar mengundi kerana protes.

Pada sebelah petang, seorang guru yang merupakan kenalan lama mengajak minum petang bersama beliau. Apabila pergi, rupa-rupanya beliau bersama dengan lebih kurang dua puluh orang guru lain. Mereka baru selesai bermesyuarat di sebuah premis JPNT berhampiran.

Hampir seluruh perbualan mereka pada petang tersebut dipenuhi lawak dan sindiran tentang ‘kluk klek’ dan ‘masihkah kau ingat’. Semua tergelak besar apabila setiap ayat yang disebut dalam perbualan mereka akan didahului atau diakhiri dengan dua frasa keramat tersebut.

Banyak maklumat yang dapat dicungkil daripada perbualan mereka. Kesimpulannya, golongan guru menolak BN dalam PRK Kuala Terengganu yang lepas. Perbualan dengan mereka turut mengesahkan bahawa merekalah yang bertanggungjawab memenangkan Allahyarham Dato’ Razali sebelum ini.

Pendekatan Dato’ Razali yang lebih intelek, menghormati orang lain dan tidak begitu keras berpolitik mungkin menjadi faktor penarik kepada golongan guru. Pendekatan berbeza yang diambil oleh BN dalam PRK ini menjadi faktor mereka menjauhi BN.