Friday, July 31, 2009

Ribuan rakyat iringi jenazah ADUN Permatang Pasir

Pulau Pinang, 31 Julai - Beribu-ribu rakyat semua lapisan dari seluruh negara hadir mengiringi jenazah ADUN Permatang Pasir petang ini yang dikebumikan di perkarangan masjid Permatang Pasir, kira-kira 100 meter dari kediaman Allahyarham.

Pnegerusi Pakatan Rakyat yang juga ketua pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba sekitar jam 3.00 petang untuk menziarahi jenazah manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak tiba kira-kira satu jam kemudian.

Lim Guan Eng yang diiringi pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man turut menyertai perarakan mengiringi jenazah hingga ke perkarangan masjid.

Solat jenazah yang diadakan sebaik selesai solat asar terpaksa diadakan dua pusingan kerana ruang masjid tidak mampu menampung jamaah yang mahu ikut serta.

Suasana sedih dapat dirasai bukan sahaja di kalangan ahli keluarga terdekat malah semua yang hadir amat merasai kehilangan tokoh besar yang telah menunjukkan komitmen tinggi memperjuangkan Islam dan rakyat di sepanjang hidupnya.


Wednesday, July 15, 2009

Akibat "bermain mata" dengan UMNO, Manek Urai hampir terlepas

Keputusan pilihanraya kecil Manek Urai 14 Julai lalu memang mengejutkan. Sesiapa saja yang berada dalam kawasan pilihanraya itu sepanjang kempen memang tidak nampak sebarang tanda PAS akan kalah. Kemenangan dengan majoriti tipis 65 undi memang menimbulkan persoalan besar kepada semua yang terlibat.

Pelbagai pihak kini cuba memberi penjelasan yang mereka anggap terbaik bagi mencari sebab sehingga muncul keputusan ini. Ada yang menyalahkan PAS Kelantan yang dikatakan angkuh kerana menghalang bantuan luar dengan alasan lokalisasi. Ada pula yang mengulangi laungan tradisi menyalahkan UMNO yang melanggar segala macam prinsip demokrasi. Tidak kurang yang melihat petugas pilihanraya lebih banyak berpesta (durian?) dari menjalankan tugas sebenar berkempen dan merayu undi. Bgaimanapun tidak ramai yang mahu menerima realiti bahawa kempen pilihanraya kecil Manek Urai bermula dengan suasana kucar kacir akibat segelintir pihak tidak bertanggungjawab "bermain mata" dengan UMNO.