Sunday, January 3, 2010

Pengarah PKS mulakan tugas sebagai setiausaha politik MB

Kota Bharu, 4 Dis - Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS), Wan Nik Wan Yusoff memulakan tugas sebagai setiauasaha politik Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota parlimen Bachok, dilantik sebagai Setiausaha Politik (SUP) Menteri Besar yang baru menggantikan Anual Bakri Harun.

Wan Nik berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1984.

Beliau juga memperolehi ijazah sarjana dalam bidang Sains Politik dari universiti yang sama pada 2005. Sekarang sedang menyiapkan tesis PhD juga dalam bidang Sains Politik.

Anak kelahiran Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh itu merupakan bapa kepada lima anak dan kini menetap di Kampung Nipah, Bachok. Isterinya seorang pendidik.

Ketika ditemui di pejabatnya Wan Nik berkata, jawatan yang disandang sekarang bukan suatu kedudukan yang perlu dibanggakan, sebaliknya penuh dengan cabaran.

“Saya perlu merujuk kepada Setiausaha Politik yang pertama, kedua atau ketiga yang lebih berpengalaman bagi memudahkan saya melaksanakan tugas,” ujarnya.

Wan Nik menggantikan Anual Bakri Haron yang telah menjadi Setiausaha Politik Nik Aziz sejak 1999.

Saturday, January 2, 2010

Perjuangan berasaskan bangsa ketinggalan zaman, tidak pernah ada dalam ajaran Islam - Nik Aziz

Mohamed Zainal Abidin Hussin

Kota Bharu 3 Jan
- Umat Islam yang menjadikan bangsa sebagai asas perjuangan diseru menilai semula pegangan mereka kerana dianggap ketinggalan zaman dan sesuatu yang sama sekali tidak wujud dalam ajaran Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sejak hari pertama penubuhan negara Islam di Madinah, Nabi SAW tidak menggelar rakyat dengan panggilan puak, keturunan atau bangsa.

"Kategori rakyat Madinah ialah golongan Muhajirin, dirujuk kepada kumpulan yang berasal dari Mekah dan Ansar, merujuk kepada penduduk Madinah yang memberi bantuan dan perlindungan kepada Nabi SAW dan kaum muhajirin.

Menurut beliau, dari awal lagi Islam mengajar supaya pengenalan berasaskan bangsa dan keturunan ditolak sebaliknya apa yang perlu dipopularkan ialah tentang jasa yang dilakukan oleh seseorang atau satu kumpulan manusia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada seluruh kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini pagi ini.

"Usaha untuk menentukan kelayakan seseorang berasaskan bangsa dan asal usul akan hanya menimbulkan perbalahan dan kedengkian di kalangan masyarakat," katanya.

Islam katanya amat menyanggah prinsip ini dan dari awal lagi meletakkan nilai manusia berasakan ilmu dan amalan mereka dan bukannya dari mana seseorang itu datang.

Minggu lalu Menteri Besar Kelantan itu mengusulkan untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan orang Islam bukan berketurunan Melayu turut diberi hak untuk menjawat jawatan tinggi seperti Menteri Besar di negara ini.

Cadangan ini di sanggah oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang menjadikan bangsa masing-masing sebagai landasan perjuangan politik masing-masing.

Cadangan ini bagaimanapun disambut mesra golongan intelektual dan mereka yang menolak politik parokial warisan penjajahan British.