Wednesday, August 11, 2010

Golongan berpendatan tinggi perlu prihatin tanggungjawab sosial

Kota Bharu 6 Ogos - Golongan berpendapatan tinggi dalam masyarakat Islam diseru lebih prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik yang semakin tertekan dalam kemelut ekonomi sekarang.

Pengerusi jawatankuasa pembangunan Islam, pendidikan dan dakwah negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata sikap sebahagian golongan ini yang mengutamakan perbelanjaan mewah akan membawa akibat buruk kepada perkembangan masyarakat dan negara.

"Kita perlu menilai untuk berbelanja mengerjakan umrah berulang kali sedangkan begitu ramai jiran-jiran penduduk sekitar yang tidak dapat menyelesaikan masalah asas mereka," soal beliau.

Beliau berkata masih ramai di kalangan golongan miskin yang tidak dapat menghantar anak-anak yang mendapat tawaran belajar di IPT kerana kesempitan hidup.

"Malah ada di kalangan masyarakat yang tidak dapat memberi wang saku yang cukup kepada anak-anak yang turun untuk ke sekolah setiap pagi di kalangan berpendapatan rendah dengan keluarga yang besar," tambah beliau.

Sebagai wakil rakyat katanya, hampir setiap hari beliau berhadapan dengan kes-kes yang amat menyayat hati.

Mohd Amar melancarkan sambutan Ihya Ramadhan bertempat di Balai Islam semalam bagi menzahirkan sokongan kepada pelbagai program yang dirancang di seluruh negeri bagi menghidupkan bulan Ramadhan.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana tahun ini sambutan Ihya Ramadhan telah memasuki tahun ke 18 dan ini menggambarkan keperihatinan kerajaan dalam usaha menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan beribadat kepada rakyat negeri ini.

Program ini juga adalah sebahagian daripada program pembangunan rohani kerajaan negeri sejak sekian lama.

Sambutan ini juga bagi menggalakkan rakyat negeri ini agar dapat meningkatkan mutu ibadah dan penghayatan Islam sepanjang masa.

Sebahagian Pegawai Halaqat wanita yang hadir

Beliau juga berharap umat Islam dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang menjadi institut pentarbiahan diri dalam pelbagai aspek meliputi jasmani dan rohani.

“Al-Quran telah menjelaskan bahawa kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk mendapatkan ketakwaan kepada Allah SWT,” ujar beliau.

Mohd Amar juga berkata dalam menelusuri perjalanan ibadah di sepanjang Ramadhan, suatu perkara yang harus diberi perhatian ialah penghayatan ibadah puasa sebagai konsep pengabdian yang menyeluruh kepada Allah.

Dengan menggunakan tema “Puasa Membina Keunggulan Rohani dan Jasmani” pada tahun ini, ia amat bertepatan dengan amalan harian umat Islam kerana di bulan Ramadhan, selain daripada menjadi amalan yang mendapat ganjaran pahala dari Allah, ia juga boleh menjadikan sebagai satu tabiat yang baik dalam aspek kesihatan fizikal.

“Kalau di bulan lain, kita sering berhadapan dengan pelbagai makanan dan ia boleh mendedahkan diri seseorang kepada pelbagai penyakit dan bi bulan Ramadhan ini , Insyaallah bagi mereka yang suka kepada pelbagai makanan, ia dapat dikurangkan”katanya lagi.

Di majlis yang sama penyampaian buku Tadarus Al-Quran yang mengandungi ayat 63 hingga 77 dari Surah Al-Furqan diedarkan kepada semua pegawai Halaqat negeri yang akan digunakan sebagai program bertadarus di seluruh jajahan.

No comments: