Saturday, August 14, 2010

Bumi Kelantan memang menunggu penggunaan dinar dan dirham

Pelancaran penggunaan Dinar dan Dirham (D & D) yang gilang gemilang 2 Ramadan lalu di Kota Bharu hanyalah satu lagi manifestasi yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Kelantan.

Majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di dewan besar Kelantan Trade Centre (KTC) itu bakal membuka era baru kepada iklim perrniagaan malah kehidupan rakyat Kelantan.

http://www.nst.com.my/nst/articles/20dinaras/Article/

Thursday, August 12, 2010

Nik Aziz lancar matawang syariah, mahu talian hayat kapitalis dirobohkan

Kota Bharu, 2 Ramadan : 12 Ogos - Wang kertas yang menjadi simbol penguasaan dunia puak kapitalis perlu diganti dengan matawang berasaskan nilai sebenar seperti dinar dan dirham.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan demikian ketika melancarkan penggunaan Dinar dan Dirham Kelantan di, Khamis.

Seluruh manusia di dunia katanya, diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas yang pada hakikatnya tidak mempunyai sandaran nilai seperti yang diadakwa.

"Mulai sekarang orang ramai boleh bawa dinar dan dirham Kelantan ini untuk membeli belah atau berurusan di pelbagai jenis perniagaan termasuk retoran, klinik, kedai pakaian dan pelbagai lagi," kata beliau di hadapan dewan yang penuh sesak dengan tetamu asing dan penduduk tempatan.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC).

Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

(Gambar: Tuan Guru menyampaikan logo dinar kepada peniaga yang menerima mata wang dinar dirham untuk jual beli.)


Pada majlis perasmian terbabit Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan dinar dan dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan Tabung Haji.

Matawang Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk pembayaran gaji, zakat, mas kahwin dan perniagaan.

Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.

Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.

Pada majlis pelancaran itu, sejumlah RM100,000 telah dibeli orang ramai

Dalam perkembangan lain Bernama melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa menafikan dinar emas dan dirham perak akan dijadikan sebagai mata wang kedua untuk negeri itu sebaliknya mata wang syariah itu boleh dijadikan alternatif kepada penggunaan sistem pertukaran barang.

Beliau berkata banyak pihak kini keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia adalah pengenalan kepada sistem pertukaran barang yang menggunakan dinar dan dirham itu.

"Beberapa laporan agak tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dan saya tidak nampak kenapa perkara ini perlu diperbesar-besarkan selepas Kerajaan Kelantan memperkenalkannya kerana ia telah digunakan sejak zaman Islam menguasai dunia lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari Jumaat.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini dilaporkan bersetuju untuk menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang memberikan reaksi berhubung perkara itu, berkata mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia.

Beliau berkata tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang, tidak timbul soal mata wang alternatif atau tidak walaupun hanya untuk urusan jual beli di negeri ini.

Katanya Kementerian Kewangan dan BNM akan mengkaji tindakan yang boleh diambil berhubung perkara itu.

Husam berkata, pihaknya menyedari dinar dan dirham yang dikeluarkan di negeri ini tidak boleh menggantikan mata wang sedia ada.

"Mata wang syariah tersebut hanya boleh digunakan apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar barangan atau perkhidmatan berdasarkan nilai semasa dinar dan dirham.

"Dahulu Orang Asli tidak menggunakan duit, mereka menggunakan hasil hutan seperti petai atau tongkat ali untuk ditukar dengan tembakau serta garam dan prinsipnya adalah sama dan cara tersebut telah digunakan secara meluas sejak beribu tahun dahulu sebelum kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniah.

Wednesday, August 11, 2010

Golongan berpendatan tinggi perlu prihatin tanggungjawab sosial

Kota Bharu 6 Ogos - Golongan berpendapatan tinggi dalam masyarakat Islam diseru lebih prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik yang semakin tertekan dalam kemelut ekonomi sekarang.

Pengerusi jawatankuasa pembangunan Islam, pendidikan dan dakwah negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata sikap sebahagian golongan ini yang mengutamakan perbelanjaan mewah akan membawa akibat buruk kepada perkembangan masyarakat dan negara.

"Kita perlu menilai untuk berbelanja mengerjakan umrah berulang kali sedangkan begitu ramai jiran-jiran penduduk sekitar yang tidak dapat menyelesaikan masalah asas mereka," soal beliau.

Beliau berkata masih ramai di kalangan golongan miskin yang tidak dapat menghantar anak-anak yang mendapat tawaran belajar di IPT kerana kesempitan hidup.

"Malah ada di kalangan masyarakat yang tidak dapat memberi wang saku yang cukup kepada anak-anak yang turun untuk ke sekolah setiap pagi di kalangan berpendapatan rendah dengan keluarga yang besar," tambah beliau.

Sebagai wakil rakyat katanya, hampir setiap hari beliau berhadapan dengan kes-kes yang amat menyayat hati.

Mohd Amar melancarkan sambutan Ihya Ramadhan bertempat di Balai Islam semalam bagi menzahirkan sokongan kepada pelbagai program yang dirancang di seluruh negeri bagi menghidupkan bulan Ramadhan.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana tahun ini sambutan Ihya Ramadhan telah memasuki tahun ke 18 dan ini menggambarkan keperihatinan kerajaan dalam usaha menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan beribadat kepada rakyat negeri ini.

Program ini juga adalah sebahagian daripada program pembangunan rohani kerajaan negeri sejak sekian lama.

Sambutan ini juga bagi menggalakkan rakyat negeri ini agar dapat meningkatkan mutu ibadah dan penghayatan Islam sepanjang masa.

Sebahagian Pegawai Halaqat wanita yang hadir

Beliau juga berharap umat Islam dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang menjadi institut pentarbiahan diri dalam pelbagai aspek meliputi jasmani dan rohani.

“Al-Quran telah menjelaskan bahawa kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk mendapatkan ketakwaan kepada Allah SWT,” ujar beliau.

Mohd Amar juga berkata dalam menelusuri perjalanan ibadah di sepanjang Ramadhan, suatu perkara yang harus diberi perhatian ialah penghayatan ibadah puasa sebagai konsep pengabdian yang menyeluruh kepada Allah.

Dengan menggunakan tema “Puasa Membina Keunggulan Rohani dan Jasmani” pada tahun ini, ia amat bertepatan dengan amalan harian umat Islam kerana di bulan Ramadhan, selain daripada menjadi amalan yang mendapat ganjaran pahala dari Allah, ia juga boleh menjadikan sebagai satu tabiat yang baik dalam aspek kesihatan fizikal.

“Kalau di bulan lain, kita sering berhadapan dengan pelbagai makanan dan ia boleh mendedahkan diri seseorang kepada pelbagai penyakit dan bi bulan Ramadhan ini , Insyaallah bagi mereka yang suka kepada pelbagai makanan, ia dapat dikurangkan”katanya lagi.

Di majlis yang sama penyampaian buku Tadarus Al-Quran yang mengandungi ayat 63 hingga 77 dari Surah Al-Furqan diedarkan kepada semua pegawai Halaqat negeri yang akan digunakan sebagai program bertadarus di seluruh jajahan.