Monday, March 10, 2008

PAS Kelantan ucap terima kasih kepada perantau, anggap tenaga kedua pertahan Islam di Kelantan

Kota Bharu, 10 Mac - PAS Kelantan mengucapkan terima kasih dan penghargaan tinggi kepada anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang mengundi 8 Mac lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Haji Takiyuddin Hassan menyifatkan pengundi yang pulang dari seluruh pelusuk negara sebagai "second force" atau tenaga kedua dalam menjayakan kemenangan parti itu mengekalkan pentadbiran Islam.

"Kesungguhan saudara-saudara kita untuk pulang mengundi dengan niat mempertahankan Islam di negeri ini sungguh luarbiasa," kata beliau ketika menghadiri majlis kesyukuran anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Bunut Payong di sebuah restoran malam ini.

PAS Kelantan menurut beliau tidak akan mensia-siakan pengorbanan kumpulan ini dan bersedia untuk memberi penghormatan kepada mereka dalam bentuk yang sesuai.

"Selain faktor jentera pilihanraya kita yang bekerja siang malam dengan begitu kemas, amat jelas kepulangan perantau yang berduyun-duyun pulang mengundi adalah tenaga kedua yang menyumbang kepada kejayaan cemerlang ini," katanya.

Takiyuddin menyifatkan kempen pilihanraya ke 12 baru-baru ini sebagai situasi penuh mencemaskan di samping tekanan paling tidak demokratik pihak kerajaan dan suruhanjaya pilihan raya (SPR).

"Sehingga pagi hari mengundi saya dan Tok Guru (Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat) terus menerus menerima laporan tentang pelbagai taktik kotor yang diusahakan parti lawan," tegas beliau.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana para pengundi menunjukkan kematangan yang tinggi dan tidak termakan dengan tipu daya parti pemerintah yang memperalatkan segala kemudahan milik rakyat dan media massa dalam menjayakan perancangan mereka.

"Keputusan yang dibuat rakyat memberikan 5 negeri dan Wilayah Persekutuan kepada Barisan Alternatif menunjukkan maruah rakyat tidak boleh digula-gulakan oleh tipu daya Barisan Nasional," tambahnya.

Perjuangan rakyat menurut beliau akan berterusan sehingga sebuah Malaysia baru yang bebas dari segala jenis angkara buruk pemerintah sekarang dapat dihapuskan.