Saturday, December 5, 2009

Gegar akan jadi wadah perjuang royalti

Rizal Tahir
KOTA BAHRU, 5 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) menggesa kerajaan supaya mengembalikan wang royalti kepada kerajaan Kelantan secara adil mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Pusat juga, sewajarnya menjelaskan hasil royalti kepada kerajaan Kelantan sebagaimana perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof, dalam sidang medianya memberitahu, bagi menjayakan hasrat yang dicapai itu juga, pihaknya akan mengembeling tenaga bersama semua masyarakat tanpa mengira faham politik, bangsa dan agama dengan memberi kesedaran pelbagai cara.

“Pada masa yang sama juga, Gegar akan menganjurkan Konvensyen Rakyat: Royalti Petroleum Antara Hak atau Ehsan? Di Kuala Lumpur Januari tahun hadapan,”ujarnya.

Menurutnya, bekas Menteri Kewangan yang juga Anggota Parlimen Gua Musang akan dijemput bagi menjayakan program yang julungkali akan dianjurkan Gegar itu.

Pada masa yang sama, menurutnya pihaknya akan mengambil tindakan-tindakan yang dirasakan berkesan, bersesuaian dan bertepatan mengikut keadaan dari masa ke semasa bagi mencapai matlamat di atas.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua masyarakat di negara ini mengikuti program terbuka yang dianjurkan Gegar itu.

Gegar adalah gerakan yang menggabungkan 50 pertubuhan badan-badan Ngo di dua buah negeri.

Ianya ditubuhkan bukan sahaja untuk menuntut hak royalti rakyat Kelantan, sebaliknya Terengganu yang telah lama memperolehi hasil tersebut namun kedudukan negeri itu masih ditempat kedua kemiskinan di negara ini.

Desakan Nik Aziz undur ditolak golongan muda

Zainal Abidin Hussin

KOTA BHARU, 5 Dis: Penyertaan begitu ramai golongan muda dalam perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam menunjukkan campurtangan Umno dalam kemelut ini hanya akan meningkatkan lagi populariti Mursyidul Am PAS itu.

Dr Rosli Alaani Abdul Kader yang berucap mewakili pemuda PAS dalam perhimpunan itu berkata pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru serta tidak akan berdiam diri sekiranya tokoh ulama itu diganggu gugat.

Menurutnya, tidak ada sebab kenapa Tuan Guru meletakkan jawatannya kerana kepimpinannya masih lagi utuh serta berintegriti.

“Hari ini kita beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kita kepada Tuan Guru dan tidak sekali-kali membiarkan ada pihak yang ingin mengganggu gugat kepimpinannya,”ujarnya lagi.

Lim Guan Seng yang mewakili belia kaum Cina berkata, belia Cina tidak pernah berasa susah apa lagi tertekan di bawah kepimpinan Tuan Guru, sebaliknya berasa aman dan selesa.

“Kedatangan kita hari ini tidak dibayar sesen pun bukan sebagaimana pihak yang mendesak Tuan Guru baru ini yang dibayar oleh pihak tertentu.

“Namun kita hari ini datang dengan ikhlas, dengan pendirian yang jitu demi untuk mempertahankan Tuan Guru, integriti Tuan Guru jangan cuba dipersoalkan,”ujarnya lagi.

Wakil pemuda India, Tharuman yang turut berucap dalam bahasa ibundanya juga turut menyatakan pendirian yang sama.

Sambungnya, masyarakat India di Kelantan telah banyak mengalami perubahan khususnya dalam era 20 tahun kebelakangan ini.

Turut berucap di perhimpunan itu Ketua Pemuda PKR Kelantan Wan Mohd Khairul Ihsan.

Apa yang menarik golongan belia pelbagai kaum hadir dengan lilitan "We love Tok Guru" di kepala masing-masing.

Sekumpulan belia Cina mempersembahkan tarian singa untuk menarik perhatian hadirin.

Kemelut berkaitan desakan supaya Menteri Besar Kelantan berundur bertukar menjadi panas apabila sekumpulan penyokong UMNO berdemonstrasi di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri 1 Disember lalu.

Friday, July 31, 2009

Ribuan rakyat iringi jenazah ADUN Permatang Pasir

Pulau Pinang, 31 Julai - Beribu-ribu rakyat semua lapisan dari seluruh negara hadir mengiringi jenazah ADUN Permatang Pasir petang ini yang dikebumikan di perkarangan masjid Permatang Pasir, kira-kira 100 meter dari kediaman Allahyarham.

Pnegerusi Pakatan Rakyat yang juga ketua pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba sekitar jam 3.00 petang untuk menziarahi jenazah manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak tiba kira-kira satu jam kemudian.

Lim Guan Eng yang diiringi pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man turut menyertai perarakan mengiringi jenazah hingga ke perkarangan masjid.

Solat jenazah yang diadakan sebaik selesai solat asar terpaksa diadakan dua pusingan kerana ruang masjid tidak mampu menampung jamaah yang mahu ikut serta.

Suasana sedih dapat dirasai bukan sahaja di kalangan ahli keluarga terdekat malah semua yang hadir amat merasai kehilangan tokoh besar yang telah menunjukkan komitmen tinggi memperjuangkan Islam dan rakyat di sepanjang hidupnya.


Wednesday, July 15, 2009

Akibat "bermain mata" dengan UMNO, Manek Urai hampir terlepas

Keputusan pilihanraya kecil Manek Urai 14 Julai lalu memang mengejutkan. Sesiapa saja yang berada dalam kawasan pilihanraya itu sepanjang kempen memang tidak nampak sebarang tanda PAS akan kalah. Kemenangan dengan majoriti tipis 65 undi memang menimbulkan persoalan besar kepada semua yang terlibat.

Pelbagai pihak kini cuba memberi penjelasan yang mereka anggap terbaik bagi mencari sebab sehingga muncul keputusan ini. Ada yang menyalahkan PAS Kelantan yang dikatakan angkuh kerana menghalang bantuan luar dengan alasan lokalisasi. Ada pula yang mengulangi laungan tradisi menyalahkan UMNO yang melanggar segala macam prinsip demokrasi. Tidak kurang yang melihat petugas pilihanraya lebih banyak berpesta (durian?) dari menjalankan tugas sebenar berkempen dan merayu undi. Bgaimanapun tidak ramai yang mahu menerima realiti bahawa kempen pilihanraya kecil Manek Urai bermula dengan suasana kucar kacir akibat segelintir pihak tidak bertanggungjawab "bermain mata" dengan UMNO.

Wednesday, April 22, 2009

Ribut landa pasar ikan, ranapkan gerai buah di Tok Bali

Pasir Puteh, 22 April (Mbaru) - Ribut yang melanda sekitar pelabuhan Tok Bali petang semalam melanda pasar ikan menyebabkan bumbung tercabut menghempap sederetan kereta yang diletakkan di kawasan parkir.

Turut ranap ialah sebuah kedai buah-buahan bimbingan FAMA berhampiran pasar berkenaan.

Pemilik gerai berkenaan, Zakuan Ibrahim berkata beliau berada di Pasir Puteh ketika kejadian sekitar jam 6.00 petang.

"Emak saya yang menunggu kedai bersama anak saya menghantar mesej ketika ribut mula melanda dan kemudian membuat panggilan memberitahu kedai telah ranap dipukul ribut.

"Bagaimanapun saya bersyukur tidak ada sebarang kemalangan yang menimpa ibu dan beberapa pekerja saya," katanya.

Saksi yang melihat bumbung pasar ikan diterbankang oleh angin berkata sekurang-kurangnya lima buah kereta yang berada di tempat letak kereta mengalami kerosakan teruk akibat dihempap bumbung berkenaan.

Sepohon pokok besar juga dilaporkan tumbang dan menghalang jalan antara Tok Bali dan Gong Kulim menyebabkan kesesakan lalulintas beberapa jam. Keadaan bagimanapun pulih sekitar jam 8 malam apabila pihak bomba Pasir Putih memindahkan pokok terbabit.

Tuesday, April 14, 2009

DS Nizar dicalonkan Naib Presiden Pas

tahniah_ds_nizarTahun ini adalah tahun pemilihan bagi PAS. Sekarang ini PAS Kawasan di seluruh negara sedang sibuk bermesyuarat.

Saya menjangkakan tahun ini akan ada pemimpin baru yang muncul untuk mendepani POLITIK BARU yang diasaskan oleh PAS. Antara nama-nama baru yang bakal diketengahkan ialah Menteri Besar Perak iaitu Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin yang begitu popular dan telah teruji kepimpinan dan ketahanannya.

Nizar berjaya membuktikan bahawa beliau mempunyai karisma, personaliti dan ciri-ciri seorang pemimpin yang baik. Beliau sudahpun memperolehi pencalonan sebagai Naib Presiden dari PAS kawasan Kelana Jaya dan juga Temerloh.

Selain Nizar saya menjangkakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Hj Azizan Abdul Razak juga akan melakukan ‘comeback’ setelah tidak dipilih menjadi Naib Presiden pada pemilihan lalu.

Beliau juga membuktikan keupayaannya memimpin kerajaan Kedah sehingga kini.Ustaz Azizan sehingga kini telah mendapat pencalonan sebagai Timbalan Presiden dari PAS kawasan Temerloh.

Dalam masa terdekat ini lebih banyak PAS Kawasan akan mengadakan Mesyuarat Agong. Saya menjangkakan lebih ramai pemimpin-pemimpin baru akan dicalonkan kerana PAS sememangnya tidak ketandusan pemimpin.Seperkara yang penting ialah demokrasi di dalam PAS tetap subur tidak sebagaimana Umno yang membunuh demokrasi.

Selain itu pencalonan dan pemilihan di dalam PAS dijalankan dalam suasana penuh beradab dan berhemah tidak seperti Umno yang dipenuhi oleh rasuah, fitnah dan sebagainya.

Syabas PAS, Allahu Akhbar.

-muslimeen united

Friday, February 13, 2009

Pertembungan sekarang antara rakyat dan BN. jangan libatkan raja dan mufti - Husam

Kota Bharu, 13 Feb (Mbaru) - Seluruh rakyat diingatkan bahawa pertembungan sebenar sekarang adalah antara Barisan Nasional yang tindak tentu arah dengan kemaraan rakyat yang tidak seharusnya melibatkan pihak raja-raja Melayu dan institusi Mufti.

Naib presiden PAS, Datuk Husam Musam berkata masalah sekarang ialah Umno yang semakin hilang upaya sedang menjadikan siapa saja sebagai prisai dalam usaha terakhirnya mempertahankan dirinya dari kehancuran.

"Rakyat jangan hilang fokus menghadapi permainan bacul Umno ini," kata beliau di majlis kesyukuran pilihanraya kecil Kuala Terengganu di Putik hari ini.

Tuesday, February 3, 2009

Dun Perak akan dibubarkan segera? ~ ref Malaysiakini

Berita terkini jam 12.40 tengahari

IPOH, 4 Feb (Mbaru): Berita angin sedang bergerak kencang kini kononnya Dun Perak akan dibubarkan secepat mungkin ekoran ketidakpastian yang berlaku di negeri itu.

Menurut sumber, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin telah menghadap Seri Paduka Sultan Perak bagi memohon perkenan agar Dun itu dibubarkan hari ini.

Bagaimanapun sehingga kini, MB Perak itu dikatakan masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenainya.

Beza satu kerusi

Tindakan SPR menolak surat dari Speaker Dun Perak, V Sivakumar yang memaklumkan kekosongan dua kerusi, Behrang dan Changkat Jering dan ketidaktentuan kedudukan Timbalan Speaker yang juga Adun DAP Jelapang, Hee Yit Fong dikatakan menyebabkan kerajaan negeri Perak memohon Dun dibubarkan.

Hee semalam tidak menyertai mesyuarat Pakatan Rakyat sejak Ahad lalu dan dikatakan sedang dipancing untuk menyertai MCA.

Ini bermakna, Pakatan hanya bergantung kepada satu kerusi sahaja dan ia sangat genting untuk kerajaan negeri yang ada kekal dan mandat semula dari rakyat diperlukan.

BN dikatakan belum mengumumkan penyertaan kedua-dua Adun yang disifatkan sebagai 'joker' oleh Datuk Seri Anwar itu kerana penyertaan mereka belum mencukupi kerana BN memerlukan sekurang-kurangnya tiga selepas penyertaan Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim ke PKR.

Pakatan kini mempunyai 30 kerusi manakala BN mempunyai 27 kerusi manakala bebas dua. Jika kedua-dua calon bebas mengisytiharkan sokongan kepada BN dan satu Adun Pakatan berjaya dibeli nescaya kerajaan negeri yang ada akan menjadi kerajaan minoriti.

4 mahu lompat ke PKR?

Bagaimanapun, ketika BN berusaha untuk mendapatkan lebih Adun untuk membolehkan mereka menjatuhkan kerajaan negeri, Siasah dimaklumkan, PKR juga sedang dalam proses untuk membawa masuk empat Adun BN ke pangkuan mereka.

Menurut sumber itu, satu mesyuarat khas Pakatan akan diadakan malam ini untuk membuat keputusan tersebut samada empat mereka akan menyertai Pakatan atau tidak.

Monday, February 2, 2009

MB yakin akan menang di Behrang dan Cangkat Jering

Ipoh 3 Feb (Mbaru) - Pakatan Rakyat Perak siap sedia mengahadapi pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering selepas dua wakil rakyat kawasan-kawasan terbabit Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) meletak jawatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bercakap kepada pemberita selepas mengahadiri mesyuarat pimpinan tertinggi PAS di kediamannya malam tadi berkata parti-parti dalam pakatan itu telah mempersiapkan jentera masing-masing dan hanya menunggu pengumumam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang akan bermesyuarat pagi ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (kiri) dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang ketika menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi PAS malam tadi

Pilihanraya kecil untuk dua kawasan itu menurut beliau tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan negeri yang kini mendapat tambahan kerusi dengan kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota Datuk Nasaruddin Hashim ke PKR minggu lalu.

Beliau turut melahirkan keyakinan untuk memenangi pilihanraya kecil berkenaan.

"Hasil maklumbalas yang kita terima menunjukkan sokongan kepada PR semakin mantap selepas kita mentadbir hampir setahun dengan prestasi pentadbiran yang jelas memberi banyak keuntungan kepada rakyat," kata beliau.

Kontroversi di Perak tercetus beberapa hari lalu apabila duan ADUN yang juga Exco kerajaan negeri telah hilang selama lebih 5 hari tanpa sebarang perhubungan dengan pejabat kerajaan negeri dan kaum keluarga.

Keadaan menjadi tegang apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumunkan bebrapa ADUN PR dari perak dijangka akan menyertai Barisan Nasional.

Ahad lalu Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar mengumumkan menerima surat perlekatakan jawatan dua ADUN berkenaan yang kemudian dinafikan oleh wakil-wakil rakyat yang dikatakan terlibat.

Surat berkenaan menurut ADUN-ADUN tersebut adalah surat yang telah disediakan tanpa tarikh yang telah dibuat sebaik mereka menang pilihanraya umum ke 12, 8 Mac tahun lalu.

SPR dijangka akan bermesyuarat pagi ini untuk menentukan proses berikutnya.

Sunday, February 1, 2009

Lebih baik bubar parlimen atasi lompat parti - Husam

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 2 Feb (Mbaru) - Tindakan berani dilakukan Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim benar-benar mengejutkan Umno sehingga terpaksa memancing dua Adun KeADILan bagi mengembalikan maruah parti itu di Perak.

Malah usaha 'mengurung' dua wakil rakyat Pakatan Rakyat sebenarnya sudah berlaku terhadap Adun PAS di Kelantan pada 1968, apabila lima Adun PAS 'diculik' selama sebulan bagi menumbangkan kerajaan negeri.

Namun usaha terancang yang dilakukan di Kelantan dengan kerjasama pihak keselamatan gagal menggugat kerajaan PAS ketika itu apabila mereka hanya sekadar membuat pengisytiharan palsu.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa (gambar) berkata, Umno didapati begitu resah dengan tindakan dilakukan Adun Bota sehingga semua orang mahu bercakap pindaan antilompat parti.

"Kalau Umno rasa intergriti mereka sudah hilang dan ramai wakil rakyat mereka nak lompat parti sehingga terpaksa buat undang-undang lompat parti, lebih baik bubar parlimen dan buat pilihan raya umum yang baru.

"Buat apa nak sekat orang nak pindah parti dengan buat undang-undang lompat parti.

Mereka yang lompat parti juga sudah tahu Umno sudah goyah. Kalau tak goyah kenapa mereka lompat parti," katanya di sini semalam.

Isu dua Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu di Perak yang dikatakan dipancing Umno menghangatkan lagi pergolakan politik di negeri tersebut.

Hari ini Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V Sivakumar memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak mengenai kekosongan kerusi Dun Changkat Jering dan Behrang.

Bagaimanapun Adun terbabit menafikan telah meletak jawatan dan masih kekal sebagai Adun. Mereka menjelaskan surat letak jawatan yang menjadi isu sekarang ditandatangani 8 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun Husam berkata, PAS pada asasnya bersetuju dengan undang-undang anti lompat parti dan bukannya bertujuan menghalang mana-mana wakil rakyat untuk melompat, sebaliknya mengosongkan kerusi mereka dan boleh bertanding semula.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri Kelantan berkata, rakyat Malaysia harus berfikir jalan keluar dan tidak semestinya bergantung kepada Umno sahaja.

"Sekiranya Umno menemui 'ajal' kita harus mencari platform baru. Banyak dah parti yang lama berkuasa sebelum ini jatuh dan tidak mustahil Umno juga akan jatuh dalam masa terdekat," katanya.

Friday, January 30, 2009

JKK perlu pendekatan baru bantu rakyat - Adun Sijangkang

Oleh Harakahdaily

JENJAROM, 31 Jan (Mbaru) - Pemimpin akar umbi khususnya jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKK) diseru meninggalkan kaedah lama tinggalan Umno dengan memberi keutamaan kebajikan rakyat melebihi usaha melindungi kepentingan politik kroni.

Adun Sijangkang,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata demikian di majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang dan golongan kurang upaya dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan pelajar dan bantuan kasut sekolah pagi ini.

Majlis pada pagi tadi meriah,apabila lebih 40 pelajar menerima bantuan kasut sekolah dan hadiah kecemerlangan daripada Dr Yunus.

Dr Yunus dalam ucapan perasmiannya menyambut baik langkah yang diambil oleh pihak JKKK Kampung Sungai Rambai kerana mampu berinisiatif untuk membantu penduduk yang kurang upaya. Image

"Bukan mudah untuk melaksanakan program seperti ini,tetapi langkah JKKK kampung ini membuat program sebegini merupakan usaha murni yang tidak ternilai.

"Jika di tempat lain,penduduk akan diberikan baucer RM20 dan dikehendaki membeli sendiri kasut tetapi di sini JKKK pergi ke setiap rumah mengukur kaki dan membelikan kasut dan meraikan pelajar bukan merupakan satu usaha yang kecil,"jelasnya.

Tambahnya, penduduk di situ bertuah apabila anak-anak mereka dapat merasai nikmat bersekolah,dan tidak sebagaimana anak-anak Palestin yang sukar untuk mendapat pendidikan formal.

"Baru-baru saya ke Palestin dapat melihat sendiri betapa susahnya rakyat di sana. Kanak-kanak sukar bersekolah. Hari-hari Israel bom,"katanya.

Oleh itu katanya, penduduk wajar bersyukur kerana selain anak-anak dapat bersekolah dengan aman di sini,sikap prihatin kerajaan negeri Selangor yang sediakan bantuan seperti kasut untuk anak-anak ke sekolah wajar dihargai.

Image"Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib rakyat. Bantuan yang disampaikan tidak mengira bangsa,semua kaum Melayu,Cina dan India dibantu dengan pemberian baucer,"tambahnya.

Selain itu katanya, di bawah pentadbiran kerajaan prihatin baru-baru ini setiap Dun diperuntukkan bantuan berupa beras,gula dan susu untuk diberikan kepada golongan kurang upaya.

"Kerajaan Selangor beri peruntukan 700 kampit beras dan di peringkat Dun kita tambah lebih 1,000 kerana kita sedar dan prihatin ramai yang kurang berupaya,"jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Rambai, Haji Mazlan Masri dalam ucapan aluannya melahirkan penghargaan atas keprihatinan Adun Sijangkang.

"Kita bersyukur kepada YB kerana memberikan hadiah...kalau sebelum ini majlis sebegini tidak pernah diadakan,"katanya.

Menurutnya, penduduk kampung di situ wajar menghargai usaha-usaha yang dilakukan seperti bantuan yang disampaikan pada pagi ini.

ImagePada majlis itu juga,seramai tujuh pelajar cemerlang UPSR dan dan dua pelajar cemerlang PMR menerima sumbangan daripada Dr Yunus.

Salah seorang pelajar tersebut,adik Afifah yang cemerlang dalam PMR dengan mendapat 8A menyifatkan anugerah sebegini wajar diteruskan.

"Paling tidak dengan anugerah ini,ramai pelajar akan lebih memberikan tumpuan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya,"katanya.

Ketika ditanya rahsia kejayaan cemerlang yang diperoleh katanya,"rajin,usaha dan sentiasa bertawakal."

Tambahnya, berkat doa dan bantuan serta sokongan ibu bapa yang tidak putus juga banyak membantu beliau untuk berjaya.

Hadi tiba di Rafah untuk serah bantuan kemanusiaan


RAFAH, Mesir 31 Jan (Mbaru) - Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang bersama 20 anggota rombongan telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli yang bersama rombongan itu memberitahu wartawan tempatan melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa kumpulan itu telah menemui rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Yahudi meskipun masih belum berjaya memasuki Gaza.

Menurut beliau, presiden PAS dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.

Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.

"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya,

Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

Di hospital itu katanya presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

Rombongan presiden PAS dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.

"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Rombongan pimpinan PAS itu dijangka akan berlepas ke Damsyik 31 Januari untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.

"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalah ummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.

"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.

Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam mesej terakhir yang diterima lewat malam tadi.

Thursday, January 22, 2009

Hina daya intelek rakyat punca BN Kalah ~ ref Malaysiakini


Oleh Penulis khas

KUALA TERENGGANU: Lima hari selepas pilihanraya kecil, penulis berpeluang kembali semula ke Kuala Terengganu untuk mendapat gambaran lebih tepat faktor kemenangan PR dan kekalahan BN dalam PRK tersebut.

Kebetulan sekumpulan pengundi dari kalangan guru telah ditemui. Golongan ini dipercayai menjadi faktor utama kemenangan Allahyarham Dato’ Razali Ismail dalam dua PRU berturut-turut.

Apabila ditanya tentang kekalahan BN, seorang pengetua perempuan dengan pantas beliau menjawab BN kalah kerana kedunguan mereka sendiri.

“BN menganggap orang lain bodoh macam mereka juga,” kata beliau yang merupakan salah seorang pengetua senior dan orang penting dalam urusan pendidikan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT)..

Pengetua tersebut memaklumkan beliau menerima 20 khidmat pesanan ringkas (sms) daripada jentera kempen BN dan dua daripada jentera kempen Pas. Beliau sendiri menunjukkan kepada penulis pesanan-pesanan tersebut.

Semua pesanan daripada jentera kempen BN menurutnya menggunakan pengenalan WARDAH dan MyNews, manakala pesanan daripada jentera kempen Pas menggunakan nombor telefon peribadi.

Penrbincangan panjang dengan pengetua tersebut menunjukkan beliau gembira dengan kekalahan BN.

“BN langsung tidak tahu menghormati budaya intelektual di mana semua pesanan ringkas yang diterima daripada jentera kempen BN seolah-olah dituju kepada orang kampung yang tidak berpelajaran serta tidak diakseskan kepada sumber maklumat lain selain sumber propaganda BN.,” katanya.

“Kita sungguh hairan bagaimana pesanan yang menggunakan slogan ‘masihkah kau ingat’ dan ‘Pas kluk klek’ serta semua isu yang dibangkitkan seperti hudud, tabika kemas, negara Islam dan lain-lain itu telah difahami dengan jelas terus diulang-ulang semacam orang payah sangat nak faham,” ujarnya yang menganggap tindakan seperti itu satu penghinaan kepada golongan pengundi terpelajar seperti beliau.

Beliau kemudian memuji pendekatan PAS yang nyata jauh berbeza.

Menurut beliau, dua mesej yang diterima daripada jentera kempen Pas adalah bercorak rayuan dan mengajak ke arah perubahan. Katanya, Pas lebih menghormati golongan intelek berbanding BN.

Seorang lagi pengundi yang ditemui ialah seorang pegawai akademik di sebuah PPD.

Seperti pengetua tadi juga, beliau menerima puluhan mesej daripada jentera BN dan lima mesej daripada jentera PAS.

Apabila ditunjukkan, didapati mesej yang diterima daripada jentera BN sama seperti yang diterima oleh pengetua tadi.

Namun bagi Pas, hanya mesej yang mengandungi rayuan daripada calon Pas, Mohd Wahid Endut sahaja yang sama dengan mesej yang diterima pengetua tadi. Itupun menggunakan nombor telefon yang berbeza.

Seperti pengetua tadi juga, beliau rasa cukup terhina dengan mesej-mesej yang diterima daripada jentera BN. Menurut beliau, BN sepatutnya membezakan strategi kempen bagi kumpulan pengundi yang berlainan.

Daripada perbualan dengan beliau, didapati beliau adalah penyokong kuat Allahyarham Dato’ Razali sebelum ini.

Beliau mengaku tidak keluar mengundi tanpa menyatakan sebab. Beliau mungkin salah seorang penyokong BN yang tidak keluar mengundi kerana protes.

Pada sebelah petang, seorang guru yang merupakan kenalan lama mengajak minum petang bersama beliau. Apabila pergi, rupa-rupanya beliau bersama dengan lebih kurang dua puluh orang guru lain. Mereka baru selesai bermesyuarat di sebuah premis JPNT berhampiran.

Hampir seluruh perbualan mereka pada petang tersebut dipenuhi lawak dan sindiran tentang ‘kluk klek’ dan ‘masihkah kau ingat’. Semua tergelak besar apabila setiap ayat yang disebut dalam perbualan mereka akan didahului atau diakhiri dengan dua frasa keramat tersebut.

Banyak maklumat yang dapat dicungkil daripada perbualan mereka. Kesimpulannya, golongan guru menolak BN dalam PRK Kuala Terengganu yang lepas. Perbualan dengan mereka turut mengesahkan bahawa merekalah yang bertanggungjawab memenangkan Allahyarham Dato’ Razali sebelum ini.

Pendekatan Dato’ Razali yang lebih intelek, menghormati orang lain dan tidak begitu keras berpolitik mungkin menjadi faktor penarik kepada golongan guru. Pendekatan berbeza yang diambil oleh BN dalam PRK ini menjadi faktor mereka menjauhi BN.