Friday, January 30, 2009

JKK perlu pendekatan baru bantu rakyat - Adun Sijangkang

Oleh Harakahdaily

JENJAROM, 31 Jan (Mbaru) - Pemimpin akar umbi khususnya jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKK) diseru meninggalkan kaedah lama tinggalan Umno dengan memberi keutamaan kebajikan rakyat melebihi usaha melindungi kepentingan politik kroni.

Adun Sijangkang,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata demikian di majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang dan golongan kurang upaya dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan pelajar dan bantuan kasut sekolah pagi ini.

Majlis pada pagi tadi meriah,apabila lebih 40 pelajar menerima bantuan kasut sekolah dan hadiah kecemerlangan daripada Dr Yunus.

Dr Yunus dalam ucapan perasmiannya menyambut baik langkah yang diambil oleh pihak JKKK Kampung Sungai Rambai kerana mampu berinisiatif untuk membantu penduduk yang kurang upaya. Image

"Bukan mudah untuk melaksanakan program seperti ini,tetapi langkah JKKK kampung ini membuat program sebegini merupakan usaha murni yang tidak ternilai.

"Jika di tempat lain,penduduk akan diberikan baucer RM20 dan dikehendaki membeli sendiri kasut tetapi di sini JKKK pergi ke setiap rumah mengukur kaki dan membelikan kasut dan meraikan pelajar bukan merupakan satu usaha yang kecil,"jelasnya.

Tambahnya, penduduk di situ bertuah apabila anak-anak mereka dapat merasai nikmat bersekolah,dan tidak sebagaimana anak-anak Palestin yang sukar untuk mendapat pendidikan formal.

"Baru-baru saya ke Palestin dapat melihat sendiri betapa susahnya rakyat di sana. Kanak-kanak sukar bersekolah. Hari-hari Israel bom,"katanya.

Oleh itu katanya, penduduk wajar bersyukur kerana selain anak-anak dapat bersekolah dengan aman di sini,sikap prihatin kerajaan negeri Selangor yang sediakan bantuan seperti kasut untuk anak-anak ke sekolah wajar dihargai.

Image"Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib rakyat. Bantuan yang disampaikan tidak mengira bangsa,semua kaum Melayu,Cina dan India dibantu dengan pemberian baucer,"tambahnya.

Selain itu katanya, di bawah pentadbiran kerajaan prihatin baru-baru ini setiap Dun diperuntukkan bantuan berupa beras,gula dan susu untuk diberikan kepada golongan kurang upaya.

"Kerajaan Selangor beri peruntukan 700 kampit beras dan di peringkat Dun kita tambah lebih 1,000 kerana kita sedar dan prihatin ramai yang kurang berupaya,"jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Rambai, Haji Mazlan Masri dalam ucapan aluannya melahirkan penghargaan atas keprihatinan Adun Sijangkang.

"Kita bersyukur kepada YB kerana memberikan hadiah...kalau sebelum ini majlis sebegini tidak pernah diadakan,"katanya.

Menurutnya, penduduk kampung di situ wajar menghargai usaha-usaha yang dilakukan seperti bantuan yang disampaikan pada pagi ini.

ImagePada majlis itu juga,seramai tujuh pelajar cemerlang UPSR dan dan dua pelajar cemerlang PMR menerima sumbangan daripada Dr Yunus.

Salah seorang pelajar tersebut,adik Afifah yang cemerlang dalam PMR dengan mendapat 8A menyifatkan anugerah sebegini wajar diteruskan.

"Paling tidak dengan anugerah ini,ramai pelajar akan lebih memberikan tumpuan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya,"katanya.

Ketika ditanya rahsia kejayaan cemerlang yang diperoleh katanya,"rajin,usaha dan sentiasa bertawakal."

Tambahnya, berkat doa dan bantuan serta sokongan ibu bapa yang tidak putus juga banyak membantu beliau untuk berjaya.

No comments: