Tuesday, April 1, 2008

Pusat usah dera 4 negeri seperti dilakukan terhadap Kelantan

Mohamed Zainal Abidin Hussin
Tue | Apr 01, 08 | 4:31:44 pm MYT

PASIR PUTEH, 1 April - Cadangan kerajaan pusat untuk merangka mekanisme hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Alternatif (BA) disokong anggota-anggota parlimen.

Malah mereka menyifatkan cadangan tersebut tepat pada masanya memandangkan amalan yang dipraktik terhadap Kelantan sepanjang 18 tahun lalu tidak mencerminkan kehendak demokrasi.

Mereka menyifatkan Kelantan telah didera dalam tempoh begitu lama kerana amalan tidak demokratik diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Hussain berkata, dengan ada mekanisma baru membolehkan kesilapan yang pernah dilakukan terhadap Kelantan sebelum ini tidak diulangi di negeri-negeri lain.

"Langkah menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) seperti yang ada di Kelantan sekarang dianggap punca segala masalah yang berlaku di negeri ini.

�Ini kerana Umno melalui JPP melantik Penyelia Pembangunan Mukim (penghulu) sedangkan bidang kuasa pelantikan penghulu di bawah kerajaan negeri,� katanya di sini.

Baru-baru ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilaporkan berkata, kerajaan pusat akan merangka mekanisme meningkatkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang.

Mohammad juga berkata, kewujudan JPP di Kelantan disifatnya punca berlakunya perpecahan dalam masyarakat apabila wujud dua cabang pentadbiran.

Menurutnya, kerajaan pusat sepatutnya menerima semangat persekutuan dengan mengiktiraf kerajaan negeri yang dipilih rakyat tanpa mengira dari parti mana.

"Kerajaan BN tidak perlu mewujudkan satu lagi hierarki pentadbiran di negeri yang tidak ditadbir parti itu di peringkat negeri.

"Tindakan kerajaan pusat membentuk rangkaian pentadbiran di luar struktur kerajaan negeri menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah guna kuasa dan pembaziran," kata beliau.

Sehubungan itu beliau mencadangkan Ketua Setiausaha Negara mengkaji secara serius cadangan tersebut supaya tidak berulang apa yang berlaku di Kelantan sekarang.

Anggota Parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, mekanisme yang lebih telus hendaklah dirangka memandangkan hasil daripada semua negeri disalur kepada kerajaan pusat.

Katanya, tidak ada sebab negeri-negeri yang diterajui pembangkang dianaktiri memandangkan mereka juga mempunyai hak di sisi undang-undang.

Anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani turut menyokong langkah mendekatkan hubungan di antara kerajaan negeri dan pusat tanpa mengira ia ditadbir parti mana sekali pun.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, empat negeri terlepas ke tangan pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Manakala Kelantan terus kekal di tangan PAS.

No comments: