Sunday, April 6, 2008

Tok Guru jemput pemimpin DAP ke Kelantan teliti pentadbiran Islam

Kota Bharu, 6 April - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempelawa pemimpin DAP melawat Kelantan bagi meneliti pentadbiran berasaskan Islam yang telah dlaksanakan sejak 18 tahun lalu.

"Pentadbiran Islam yang telah kita laksanakan telah diterima oleh semua rakyat termasuk mereka yang bukan beragama Islam, jadi tidak wajar para pemimpin DAP terus membesar-besarkan isu ini," kata beliau kepada pemberita selepas menerima kujungan hormat duta besar Jepun di pejabat beliau pagi ini.

Para pemimpin DAP kata beliau akan diberi sambutan kerajaan sekiranya mereka bersedia mengadakan lawatan sedemikian.

"Saya mencadangkan supaya tetamu kita dari DAP itu bukan sekadar mendengar penjelasan daripada pihak PAS tetapi juga mereka boleh bertemu dengan masyarakat bukan Islam di negeri ini secara berasingan," katanya.

Dato' Nik Aziz yakin masyarakat bukan Islam di Kelantan malah di luar Kelantan sekarang telah cukup yakin dengan keadilan dan ketelusan pemerintahan Islam yang telah dibuktikan sepanjang mentadbir Kelantan.

"Kesediaan mereka (masyarakat bukan Islam) mengundi PAS dalam pilihanraya umum ke -12 yang lalu menunjukkan mereka sudah faham bahawa pentadbiran Islam yang dilaksanakan PAS di Kelantan jauh lebih baik berbanding parti yang berfahaman kebangsaan," tambah beliau.

No comments: