Sunday, June 8, 2008

Pencegahan dadah perlu bermula dari rumah

Pasir Puteh, 5 Jun - Usaha pencegahan dadah akan berkesan jika ibu bapa memberi perhatian untuk memulakan tindakan di rumah.

Ahli Palimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain berkata usaha pihak kerajaan yang merangka pelbagai program dengan kos yang besar tidak akan memberi sebarang makna tanpa kesungguhan pihak keluarga.

"Program meningkatkan kesedaran ibu bapa di peringkat akar umbi amat penting supaya anak-anak terhindar daripada gejala negatif," kata beliau ketika merasmikan program Keluarga Sejahtera, ‘Institusi Keluarga Bebas Dadah’ yang dianjurkan oleh JKKK Felcra Teratak Batu dekat sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya beliau turut melahirkan rasa bangga dengan inisiatif yang dijalankan oleh JKKK Felcra dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tersebut.

"Usaha sebegini mampu memberikan pendedahan awal kepada penduduk kampong terhadap gejala penagihan dadah malah melalui program ini juga hubungan silaturrahim antara penduduk dapat dieratkan," tambah beliau.

Program sehari itu bermula jam 10 pagi sehingga 11 malam telah mendedahkan kepada masyarakat setempat terhadap implikasi buruk sekiranya terlibat dengan penagihan dadah.

Bagi memeriahkan lagi program ini, pihak penganjur juga turut memasukkan unsur-unsur kebudayaan dan kesenian yang telah melibatkan pelbagai lapisan peringkat umur terutamanya golongan belia.

No comments: