Saturday, December 29, 2007

Ibadat korban lancar walaupun banjir belum pulih

Oleh: Abu Thoreeq

Kota Bharu: Pemimpin Kelantan melahirkan kegembiraan atas kesungguhan rakyat menzahirkan syiar Islam di negeri ini dalam musim ibadat korban sempena perayaan Aidil Adha.

"Upacara korban disertai oleh seluruh lapisan masyarakat walaupun keadaan banjir belum pulih sepenuhnya," kata EXCO Kerajaan Negeri, Dato' Haji Takiyuddin Hassan yang ditemui di majlis korban anjuran masjid berhampiran kediaman beliau di kampung Telipot dekat sini.

Beliau memuji masyarakat setempat yang berjaya mengendalikan ibadat penting umat Islam itu secara sistematik dan teratur.

"Walaupun dalam keadaan agak sulit masyarakat kita dapat menyelesaikan upacara seperti ini dengan sempurna," katanya.

Dalam upacara selepas solat Aidil Adha itu, sejumlah 14 ekor lembu telah disembelih di perkarangan masjid terbabit.

Dato' Takiyuddin kemudian menyempurnakan upacara membahagi-bahagikan daging korban kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan dalam qariah berkenaan. (my) - SNN

No comments: