Saturday, December 29, 2007

Kelantan fokus kebajikan rakyat

OLEH: MUHAMMAD YUSRI AMIN

KOTA BHARU: Dengan slogan Membangun Bersama Islam bercirikan Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (UMI) serta pengabdian kepada Allah swt, pemerintahan Kerajaan Negeri tidak bankrap, bahkan tidak meminjam daripada Kerajaan Pusat sejak 17 tahun pemerintahannya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim berkata dalam pembentangan Belanjawan 2008, Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Menegaskan demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Ke-11 di Dewan Negeri, Kota Darulnaim di sini baru-baru ini, beliau berkata Kerajaan memberi keutamaan kepada penjanaan ekonomi pelbagai lapisan rakyat.

Keutamaan kepada pembinaan insan berteraskan Islam, pembinaan perumahan mampu milik dan pembelaan terhadap golongan dhaif dan miskin di samping orang kurang upaya (OKU), anak yatim, armalah dan golongan warga emas.

Beliau berkata, sejak 1990 Kerajaan Negeri memeintah, tidak ada teguran besar daripada Ketua Audit Negara yang boleh mencacatkan Kerajaan membabitkan tadbir urus kewangan, dan tanpa melibatkan penyelewengan.

“Kalau ada pun, hanya satu peringatan supaya dapat dilaksanakan pentadbiran kewangan dengan baik,” katanya.

Mengenai Jawatankuasa Hisbah, kenapa Kerajaan Kelantan tidak menubuhkannya, beliau menegaskan “kita di Kelantan ada Biro Pencegah Rasuah (BPR) yang boleh memantau pentadbiran dengan baik.

“Kita juga ada Jabatan Audit Negara yang boleh ‘masuk’ ke mana-mana jabatan, bahkan kita ada Public Akaun Committee (PAC) yang boleh menjadi ‘pengawal’ yang baik kepada pentadbiran Kerajaan Kelantan,” katanya.

Terdahulu, beliau memuji Yayasan Islam Kelantan (YIK) di mana agensi Kerajaan itu merupakan salah satu ‘indicator’ yang boleh melahirkan insan yang mampu menjadi generasi yang berkualiti menerusi bidang pendidikannya.

“Bahkan YIK boleh melahirkan generasi yang mampu menjadi pemimpin Islam bagi mewarisi i Kelantan, insya Allah,” katanya.

Mengenai peraturan seragam sekolah, beliau menegaskan pelajar-pelajar wanita YIK dipastikan memakai baju kurung di samping memakai ‘hand-wrest cover’.

“Tetapi terdapat di kalangan wanita atau guru wanita YIK dari kalangan UMNO, penyokongnya atau isteri waki rakyat UMNO melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Ada antara mereka khususnya isteri kepada wakil rakyat UMNO, mereka pergi ke luar negara dengan meninggalkan sekolah, dan tidak dimaklumkan pemergian itu kepada Pengetua berkenaan.

“Bahkan setelah pulang dari luar negera pun, dan pergi ke sekolah mengajar, mereka enggan mengisi ‘borang kebenaran’,” tegasnya.

No comments: