Saturday, December 29, 2007

Faham 'kebangsaan' tak sampai ke akhirat

Oleh: Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Menteri Besar menyifatkan tindakan pembangkang yang Keluar meninggalkan Persidangan Dewan Negeri terutama ketika penggulungan perbahasan oleh pihak Kerajaan menunjukkan hujah dan dakwaan mereka ketika berucap mengambil bahagian dalam perbahasan persidangan sebagai tidak betul.

Menteri Besar berkata, pihak pembangkang meninggalkan Dewan Negeri setelah menghamburkan pelbagai hujah dan akhirnya tidak menghadiri persidangan Dewan Negeri hingga tamat menunjukkan hujah yang diutarakan itu tidak betul.

Berucap ketika merasmikan Pusat Tahfiz dan Masjid Darul Ansar di Wakaf Che Yeh dekat sini baru-baru ini, beliau berkata sekiranya manusia ‘menerima Islam’, segala tindakan dalam hidupnya menjadi betul sampai ke akhirat.

“Namun sebaliknya jika faham ‘nasionalis’ atau ‘kebangsaan’ yang menjadi pegangan, tidak akan sampai ke akhirat.

“Orang Eropah yang mengamalkan ‘mala fade (niat jahat) terhadap Islam dan umatnya, mereka mengajar manusia dengan fahaman ‘agama suku’, ‘politik suku’ (dalam urusan hidup).

“Akhirnya ajaran itu diterima setengah golongan Melayu Islam, seterusnya membabitkan urusan dalam hal ehwal ekonomi, sosialogi, dan mereka siarkan dalam radio dan televisyen.

“Bahkan mereka melaksanakan kaedah ‘pecah-pecah dan perintah’,” kata Menteri Besar.

Mengenai tuduhan pihak tertentu mengatakan Islam dan umatnya ‘ganas’, Menteri Besar menarik perhatian kepada kunjungan warganegara Australia yang datang berjumpanya.

“Orang Australia yang datang ke Kelantan dan berjumpa saya, setelah diberi penerangan, mereka faham kedudukan Kerajaan sekarang.

“Mereka faham islam bukan ganas, tidak sebagaimana yang ditohmahkan pihak-pihak tertentu, “ katanya.

Terdahulu, Menteri Besar menyatakan, seboleh-bolehnya pengisian dalam urusan perniagaan dan sebagainya di kawasan Pasar Borong atau Pasar Malam atau lain-lain di Wakaf Che Yeh ‘diisi’ dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran terutama di Masjid Darul Ansar.

“Kerja kita buat pasar sama ada Pasar Borong atau Pasar Malam, tetapi seboleh-bolehnya sebelum masuk waktu sembahyang Suboh, hendaklah diperdengarkan (dibacakan) ayat-ayat Al-Quran bersekali dengan terjemahannya.

“Kalau boleh, terjemahan itu hendaklah di dalam loghat Kelantan, dan yang boleh dimengertikan oleh para peniaga di situ,” katanya sambil menyifatkan bahwa di dunia ini wang belum tentu boleh menyelamatkan manusia.

“Kita lihat di dalam surat khabar, mereka yang ada pengaruh, ada kuasa, namun ada ketikanya terpaksa masuk Mahkamah. Usahkan di dalam kubur dan di akhirat, di dunia ini sendiri pun, wang tidak dapat menyelamatkan kita.

“Kita berdoa supaya rakyat terus bersama Kerajaan yang mengangkat sloga Membangun Bersama Islam dalam mendapat keberkatan dan keredhaan Allah swt di dunia dan akhirat,” katanya.

No comments: