Tuesday, January 8, 2008

Usaha pembentukan keluarga cemerlang - JHEIK wujudkan unit khas

Oleh: Muhammad Yusri Amin


Imej tradisional pejabat agama selalu dikaitkan dengan soal penguatkuasaan dan hukuman kepada para pesalah syar'ie. Bagi mengubah tanggapan umum ini, Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (JAHEIK) kini bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada usaha membina keluarga cemerlang.


"Usaha kita bermula dengan program terancang yang diadakan berdasarkan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam di mana penekannya ialah kepada bidang akidah, ibadah, akhlak dan komunikasi suami isteri," kata Pengarah JAHEIK, Haji Abdul Aziz Abddul Rahman dalam satu temubual khas dengan Siasah baru-baru ini.

Islam kata beliau sejak zaman silam memberi tumpuan besar terhadap pembinaan keluarga dan dalam soal ini wanita perlu diberi status yang sewajarnya.


Sebelum kedatangan Islam, wanita dianggap tidak berharga, warga kelas dua serta tunduk kepada kehendak lelaki, bahkan tidak berhak menjalani kehidupan mulia. Mereka tidak mempunyai bahagian dalam pembahagian pesaka.

Prof. Dr. Ahmad Shalaby dalam Kehidupan Sosial Di Dalam Pemikiran Islam (Pusataka Nasional 1976) menerusi artikelnya, Kaum Wanita Di Dalam Masyarakat menyatakan bahawa sejak dahulu Islam telah meletakkan lunas-lunas kehidupan baru bagi kaum wanita dan memupuknya.

Islam mempunyai hak-hak yang baru dikenali peradaban Barat pada abad ini atau mereka masih belum mengenali sepenuhnya. Sejak zaman lahirnya Islam, wanita Islam menikmati hak-hak itu dan terus menikmatinya sehingga sekarang dan tidak pernah terdpat mana-mana peradaban yang boleh menandingi peradaban Islam dalam persoalan itu, bahkan islam sentiasa mahukan kebaikan bagi wanita dengan tidak mengabaikan 'keperempuanannya' sama ada keperluan untuk berpakaian, menunaikan solat dan menghias diri.

Demikianlah maka penghargaan dan pemerhatian diberikan kepada wanita.

Dalam usaha membantu institusi kekeluargaan khususnya pasangan suami isteri dan bakal suami isteri, sebuah unit khas diwujudkan oleh JHEIK bagi bertindak memberi nasihat dan bantuan moral dalam menyelesaikan kes membabitkan nafkah, penderaan dan sikap pasangan itu.

Menurut Haji Abdul Aziz, sebagai contoh pasangan yang datang ke unit berkenaan meminta bantuan nasihat ialah kerana pemberian nafkah tidak mencukupi atau tidak diberi langsung.

"Langkah pertama, pihak kami memanggil pasangan berkenaan untuk berbincang. Cuba cari penyelesaian. Andainya suami itu tidak mampu dengan kadar permintaan isteri berkenaan, kita akan rundingkan.

"Kita menjadi orang tengah. Seandainya suami berkenaan berdegil juga dan tidak ada kata sepakat, kita akan bawah mereka ke mahkamah syariah," katanya.

Sementara bagi kes penderaan, menurut Haji Aziz, pihaknya menyuruh pasangan berkaitan membuat laporan doktor di hospital kerajaan dan laporan polis.

"Banyak jenis penderaan termasuk penderaan mental. Dalam kes ini juga kita berikan nasihat dan jika perlu mereka terpaksa masuk mahkamah syariah untuk tindakan akhir," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kejadian penderaan mental itu biasanya berlaku di kalangan golongan elit dan intelek di mana suami mengeksplotasi isterinya secara mental.

"Dalam kes ini, sebagai contoh, suami mengatakan kepada isterinya: "kamu menjadi isteriku, kamu tidak boleh melawan suami. isteri terpaksa akur termasuk dari segi kewangan rumah tangga kerana isteri mesti patuh.

"Dalam soal ini, si suami berkenaan membuat alasan bahawa itu hukum syariah, menjadikan hukum syariah sebagai alasan untuknya mempengaruhi isteri. Isteri tidak berdaya untuk melawan. Tidak boleh menderhaka kepada suami.

"Inilah sikap yang ditanam oleh suami berkenaan, sebagai contoh penderaan mental dan isteri berkenaan tidak boleh menegur suaminya itu," katanya dan menyarankan andainya si isteri itu mahu mengambil tindakan, mestilah membuat aduan di mahkamah syariah.

"Dalam hal ini, langkah pertama ialah pergi kepada Unit Khidmat Nasihat Jabatan Hal Ehwal Agama dan pihak terbabit akan dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

"Hasil dari khidmat nasihat itu, kebanyakannya pasangan berubah, namun kemungkinan besar datang semula membuat aduan," katanuya sambil menekankan bahawa khidmat nasihat yang diberikan adalah tidak bercanggah dengan Islam dan berpaksikan kepada kekeluargaan Islam dan hukum syariah.

"Pokok pangkal punca kes ialah kerana suami isteri itu jahil di dalam selok belok agama dan rumah tangga Islam.

"Untuk mengatasi masalah ini, pihak Jabatan ini menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan kepada bakal pengantin, kursus kekeluargaan serta menganjurkan progaram Generasi Solat untuk memberi kesedaran agama di kalangan generasi muda, selain dari khidmat nasihat yang diberikan dengan percuma," katanya.

Menurut beliau, mereka yang datang terdiri dari semua golongan masyarakat yang tinggal di sekitar Kota Bharu khususnya.

"Kes-kes yang kita kendalikan bukan terhad kepada pasangan saja, bahkan boleh salah seorang pasangan itu datang bagi pihak dirinya sama ada suami atau isteri dan mereka datang untuk memperbaiki dirinya sendiri terhadap apa yang tidak kena dalam menjalani kehidupan berumah tangga itu," katanya.


Unit ini juga jelas beliau menguruskan soal perkahwinan dan prosedur, hubungan dalam keluarga, pengurusan kesihatan, pengurusan sumber keluarga dan pengurusan konflik di samping pengurusan tekanan/stress dalam kehidupan dan pengurusan talak, fasakh dan prosedur perceraian.

No comments: