Tuesday, January 8, 2008

Kematian anak Tok Khurasan buat MB terkenang zaman remaja

Oleh: Abu Thoreeq
Foto: Hisham Ibrahim

Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menzahirkan kenangan semasa remaja ketika menziarahi kematian anak bekas guru beliau di Kampung Sireh Selasa lalu.

Menurut beliau Tok Guru berasal dari Afghanistan yang dikenali sebagai Tok Khurasan itu sangat alim dan begitu terkenal di Kelantan ketika itu.

“Tok Khurasan adalah guru terkenal semasa zaman saya masih kanak-kanak dan saya sentiasa berulang alik ke kampung ini untuk berguru dengan beliau,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah anak kepada Tok Khurasan, Zaharah binti Syed Hassan.

Beliau yang diiringi Dato’ Haji Takiyuddin Hassan turut menceritakan bagaimana Tok Khurasan bukan sahaja tekenal dalam bidang syariah dan usuluddin malah juga seorang yang mahir dalam bidang ilmu falak.

Berhampiran masjid yang lebih dikenali masjid Maulana oleh masyarakat tempatan itu terdapat kesan ciptaan jam matahari ciptaan ulama’ tersohor itu.

“Jam matahari yang masih kekal sampai sekarang adalah kesan tinggalan yang amat perlu dikenang kerana pada zaman jam belum dikenali ramai, umat Islam menggunakan rekaan ini bagi menentukan waktu solat dengan tepat,” jelas beliau.

Dato’ Takiyuddin yang hadir di majlis pengkebumian jenazah Zaharah menyerahkan bantuan Kifalah kepada waris simati.

“Alhamdulillah seluruh penduduk sekitar telah bersama membantu keluarga Allahyaram dalam menghadapi saat sukar seperti ini,” katanya.

Masjid Maulana menurut Takiyuddin telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan Islam di Kota Bharu khususnya kawasan Bunut Payong dan sekitarnya.

No comments: