Monday, January 14, 2008

Hijrah lebih penting dirayakan berbanding maulud

Kota Bharu, 14 Jan - Umat Islam perlu menilai semula tradisi mereka merayakan maulud yang dianggap lebih penting berbanding Hijratul Rasul.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan meminta Exco Dakwah dan Pembangunan Islam menilai semula supaya galakan yang lebih wajar ditumpu kepada perayaan Hijratul Rasul di peringkat akar umbi.

"Hijrah amat penting untuk diingati kerana peristiwa ini merupakan kemuncak kepada tahap perjuangan para sahabat Rasulullah SAW sehingga sanggup meninggalkan kampung halaman demi melaksanakan perintah Allah SWT," kata beliau ketika menyampaikan perutusan Hijratul Rasul kepada kakitangan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) pagi ini.

Maulud kata beliau adalah peristiwa kelahiran baginda Rasulullah SAW yang belum disertai dengan pengorbanan dan keimanan sebagaimana dalam peristiwa hijrah.

"Masa Rasulullah SAW lahir, orang di sekeliling baginda belum tahu apa-apa tentang iman dan Islam sedangkan untuk berlaku hijrah, satu suasana pertentangan antara iman dan kufur telah berlaku dengan begitu hebat"," tambah beliau.

Menyentuh pelaksanaan Islam di kelantan, beliau menyifatkan seluruh umat patut berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang memilih kerajaan yang mahu melaksanakan Islam.

"Dengan terpilihnya kerajaan yang melaksanakan Islam kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan seperti hotel-hotel yang dahulu dikenal dengan imej kotor dan maksiat kini telah diterima sebagai tempat yang aman dan selesa," jelasnya.

Dengan terhentinya kegiatan judi dan kelab malam dan lain-lain maksiat yang lazimnya dihalalkan kerajaan, masyarakat Kelantan kata beliau hidup aman harmoni dari pelbagai gejala yang sedang melanda tempat-tempat lain.

"Kita tidak perlukan kamera litar tertutup (CCTV) jika iman dan takwa disemai dalam hati sanubari rakyat," tambahnya.

Beliau turut menghuraikan konsep ubudiyah, masuliah dan itqan yang menjadi teras pentadbiran negeri bagi membina masyarakat sejahtera berdasarkan panduan ilahi.

No comments: