Thursday, January 10, 2008

Kisah hidup tokoh Hijratul Rasul memukau hadirin


KOTA BHARU, 10 Jan - Kisah hidup Dato' Mohamed Daud al-Iraqi yang diisytiharkan tokoh Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan memukau mereka yang hadir di Balai Islam Lundang malam tadi.

Orang ramai sunyi sepi ketika riwayat hidup beliau dibacakan Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan, Ustaz Saibon Ismail.

Kisah kegigihan beliau bermula dengan belajar dalam dua aliran pengajian iaitu sistem sekolah dan pondok serta pencapaian-pencapaian beliau sepanjang hidup begitu mengkagumkan.

Beliau yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri pernah menjawat pelbagai jawatan dalam pelbagai sektor khusunya pendidikan.

Pernah bertugas sebagai guru, pensyarah, pegawai pendidikan, dan penulis buku teks sekolah.

Turut dikisahkan ialah kekuatan daya kepemimpinan di mana hampir di semua tempat beliau sentiasa dilantik sebagai pemimpin.

Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1429 Hijriah yang akan diadakan malam tadi bertema "Menjana Ummah Gemilang" dirasmikan Sultan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, sambutan itu diadakan bersempena memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.

"Dari keadaan asal tidak ada daulah menuju kepada kewujudan daulah hasil dari peristiwa itu, di mana hijrah bermaksud berubah daripada gelap kepada terang dan rugi kepada untung.

"Kita mahu sebarkan kehebatan peristiwa hijrah itu melalui sambutan yang diadakan di peringkat negeri," katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang bermulai jam 8.30 malam.

Pada majlis itu turut diumumkan penerima anugerah Tokoh Saudara Kita, Masjid Terbaik dengan Kategori Masjid Bandar dan Masjid Mukim.

Selain itu anugerah Imam Terbaik bagi Masjid Bandar dan Masjid Mukim, Pondok Madani dan Pondok Terbaik.

Tokoh Usahawan Muslim (lelaki dan perempuan), penulis buku terbaik, Sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (Yik) Terbaik, Sekolah Menengah Agama (Bantuan) Yik Terbaik.

Turut diumumkan pelajar Sekolah Menengah Agama Yik Terbaik (lelaki dan perempuan), pelajar Sekolah Menengah Agama (Bantuan) Yik Terbaik (lelaki dan perempuan) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangaaan Agama Terbaik (lelaki dan perempuan).

Hassan berkata, penerima anugerah Tokoh Hijratul Rasul akan menerima sijil dan wang tunai RM5,000, Tokoh Saudara Kita (RM3,000).

Johan Kategori Masjid Bandar (RM5,000), naib johan (RM3,000) dan ketiga (RM2,000). Kategori masjid mukim juga menerima hadiah serupa. Imam Terbaik Masjid (RM2,000), Pondok Madani (RM5,000, pondok terbaik “ johan (RM3,000), naib johan (RM2,000) dan ketiga (RM1,000).

Tokoh Usahawan Muslim (RM3,000), penulis buku Islam terbaik (RM2,000), Sekolah Menengah Agama Yik Terbaik (RM2,000), Sekolah Menengah Agama (Bantuan) Yik Terbaik (RM2,000).

Hassan juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM50,000 bagi penganugerah tersebut.

No comments: